Tuesday, 3 June 2014

DYANA KALAH : DAP SALAHKAN RAKAN DALAM PAKATAN (PAS)


Selepas menyalahkan kiraan undi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DAP kini menyalahkan pula PAS apabila menganggap isu pelaksanaan undang-undang hudud yang dibawa oleh PAS menjadi antara punca kekalahan calon DAP, Dyana Sofea Mohd. Daud pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan 31 Mei lalu.

DAP juga bimbang sekiranya isu undang-undang Islam itu tidak diselesaikan dengan segera, ia akan menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) menerima kesan lebih buruk pada pilihan raya akan datang.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dari DAP berkata, isu hudud mungkin menyebabkan wujudnya undi protes terutama di kalangan pengundi Cina yang merupakan pengundi majoriti di kawasan itu.

"Ini mungkin hasil daripada undi protes secara senyap menentang Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam PRK Teluk Intan, Dyana Sofya memperoleh 19,919 undi, tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong (20,157 undi) dengan majoriti 238 undi.


Berikutan keputusan itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menuduh SPR gagal memastikan ketelusan di dalam proses PRK itu sehingga menyebabkan kekeliruan dari segi jumlah yang keluar mengundi dan jumlah kertas undi yang dikeluarkan.

Nga berkata sepatutnya jumlah kiraan undi adalah 40,242 iaitu setelah dicampur pengundi awal (392 undi) dengan jumlah pengundi keluar mengundi (39,850 undi).

Namun apabila ditambah jumlah undi yang diperolehi DAP (19,919), jumlah undi yang diperolehi BN (20,157) dan undi rosak (505), ia nyata bercanggah, apabila mencatatkan angka 40,626 undi.

Kata Nga sepatutnya jumlah kiraan undi adalah 40,242 iaitu setelah dicampur pengundi awal (392 undi) dengan jumlah pengundi keluar mengundi (39,850 undi).

Namun apabila ditambah jumlah undi yang diperolehi DAP (19,919), jumlah undi yang diperolehi BN (20,157) dan undi rosak (505), ia nyata bercanggah, apabila mencatatkan angka 40,626 undi.

Bagaimanapun Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menafikan perkiraan itu kerana hakikatnya tidak berlaku kertas undi terlebih daripada jumlah sebenar.

Kata Aziz, tiada kesilapan perkiraan kerana jumlah undi yang dimenangi oleh Mah (20, 157), dicampur dengan jumlah undi yang diperoleh Dyana (19, 919), jumlah undi ditolak atau rosak (543) dan bilangan kertas undi yang dikeluarkan tetapi tidak dimasukkan dalam peti undi (49); maka ia akan selari dengan jumlah kertas undi yang dikeluarkan iaitu 40,668 undi.

Mengulas lanjut mengenai kekalahan DAP, Gobind memberitahu, dalam analisis awal yang dijalankan dan peratusan keluar mengundi rendah menunjukkan dengan jelas wujud faktor luaran lain menyumbang kepada kekalahan mereka hingga DAP hilang 25 peratus undi bukan Melayu.

"Saya berpendapat kontroversi melibatkan pelaksanaan hudud oleh PAS menyumbang secara signifikan kekalahan kami di Teluk Intan," katanya.

Walaupun beliau mempertahankan keputusan meletak calon Melayu, Dyana Sofya di Teluk Intan sebagai strategi yang tepat namun ia masih tidak memadai kerana rakan komponen Pakatan Rakyat berbeza pendapat dalam isu pelaksanaan hudud.

"Strategi dalam memilih calon dan visi masa depan semata-mata tidak boleh mengaburi isu semasa yang mendapat perhatian orang ramai seperti hudud," katanya.- Antarapos

No comments: