Friday, 23 May 2014

PENGERUSI MYWATCH GESA SPRM SIASAT KEKAYAAN LUARBIASA ANAK LELAKI PEGAWAI KANAN POLIS


KUALA LUMPUR : 

Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) R Sri Sanjeevan mendakwa anak lelaki seorang pegawai kanan polis memiliki aset kekayaan melebihi RM2 juta.

Sanjeevan berkata, kekayaan lelaki berusia 30-an itu menimbulkan tanda tanya kerana beliau tidak memiliki sebarang pekerjaan.

“Dia memiliki dua buah kereta mewah jenis Audi A5 dan Jaguar XF yang dibeli secara tunai, selain turut mempunyai enam akaun peribadi yang kesemuanya berjumlah melebihi RM500,000.

“Hasil siasatan pihak MyWatch mendapati pekerjaan terakhir dia adalah pada tahun 2008,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sebuah restoran di ibu negara hari ini.

MyWatch turut mendedahkan transaksi akaun anak lelaki tersebut yang datang daripada sebuah syarikat senjata api yang berpangkalan di Malaysia Timur.

Sehubungan itu, MyWatch menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat sumber kekayaan luar biasa lelaki terbabit.

“Saya mahu siasatan terperinci dibuat segera sumber kewangan beliau kerana mampu memiliki pelbagai aset dalam usianya dan tidak bekerja bahkan saya turut akan membuat laporan kepada pihak SPRM pada minggu hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sanjeevan turut mengulas pertanyaan media mengenai kes tembak terhadap dirinya, Sanjeevan berkata siasatan terhadap kes itu telah dihentikan.

“Saya berasa kesal kerana siasatan telah ditutup maknanya sekiranya saya terbunuh ketika kejadian itu, bererti tiada siasatan lanjut yang akan dibuat bagi mengetahui kebenaran sebenar,” tegas beliau.

Post a Comment