BEBERAPA media Britain melaporkan suspek militan yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) minggu lalu kini sedang turut disoalsiasat berkaitan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Menurut laporan laman web New York Post hari ini, agensi risikan antarabangsa seperti Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan MI6 dari Britain meminta pihak berkuasa Malaysia mengendalikan soalsiasat lebih tegas ke atas semua suspek.
Suspek berkenaan menurut laporan itu berusia dalam lingkungan 22 hingga 55 tahun antaranya pelajar, golongan profesional dan juga janda muda.
Laman web itu turut memetik kenyataan seorang pegawai dari Cawangan Khas AntiKeganasan Malaysia yang berkata penahanan itu menyemarakkan kebimbangan pesawat berkenaan telah dirampas dan dikawal oleh pengganas.
“Kemungkinan pesawat itu (MH370) dilencongkan oleh militan masih diletakkan pada keutamaan paling tinggi.
“Pihak risikan antarabangsa telah meminta laporan lengkap berkaitan kesemua suspek ini,” kata pegawai itu yang dipetik laporan New York Post.
Menurut pihak berkuasa Malaysua, suspek-suspek berkenaan mengakui ada merancang kempen keganasan di Malaysia tetapi menegaskan mereka tiada kaitan dengan kehilangan pesawat berkenaan.
Pesawat MH370 ketika kejadian kira-kira dua bulan lalu sedang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac dengan 239 orang penumpang di dalam pesawat ketika kehilangannya.
Operasi pencarian besar-besaran untuk mencari pesawat Boeing 777-300ER itu di kawasan selatan Lautan Hindi sehingga kini tidak menemui sebarang serpihan dan bangkai pesawat. – MYNEWSHUB.MY
No comments:
Post a Comment