Sunday 4 May 2014

KECUNDANG DI TANGAN KANADA.... MALAYSIA GAGAL KE FINAL HOKI CABARAN JUARA-JUARA


Skuad hoki negara gagal ke pentas final Cabaran Juara-Juara 1 apabila tewas 4-5 di tangan Kanada dalam penentuan penalti shoot-out selepas terikat 2-2, dalam masa permainan sebenar.


Malaysia tampil bersemangat dengan sorakan kira-kira 7,000 penyokong di Stadium Wisma Belia, Kuantan apabila mendahului menerusi pukulan sudut penalti penyerang negara, Faizal Saari pada minit ketiga.

Anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menambah tekanan buat Kanada apabila Ismail Abu melakukan jaringan padang pada minit ke-14 sebelum kapten Kanada, Scott Tupper merapatkan kedudukan pada minit ke-21.

Cubaan untuk menambah jaringan gagal dihasilkan pemain negara dengan lawan sebaliknya bangkit menyamakan kedudukan apabila Tupper sekali lagi meledak pukulan sudut penalti pada minit ke-60.
Kanada hanya gagal tiga daripada lapan pukulan untuk menyingkirkan Malaysia.

Namun, skuad negara berpeluang membaiki pencapaian terbaik tempat keempat yang diraih pada 2001 dan 2012.

Malaysia akan menanti pasukan yang tewas pada satu lagi aksi separuh akhir membabitkan Korea Selatan menentang Ireland yang dijadualkan berlangsung pada 9.30 malam, ini (Ahad).

No comments: