Tuesday 18 February 2014

KERETA PROTON DIJUAL MURAH DI LUAR NEGARA ???


SEBELUM ini, sudah banyak kali kita mendengar dakwaan harga jualan bagi beberapa model kereta keluaran Proton Holdings Bhd (Proton) di luar negara dikatakan lebih rendah berbanding harga dalam negara.


Ramai penulis blog dan pengguna mendakwa kereta Proton di negara seperti Australia dan Arab Saudi dijual jauh lebih murah.

Pemeriksaan wartawan menunjukkan, sebagai contoh, Proton Preve di Malaysia dijual pada harga bermula daripada RM58,921 bagi model 1.6 Executive Manual, tetapi di Australia, model sama dijual pada harga RM46,964 (atau 15,990 dolar Australia).

Namun, jika dilihat dalam laman sesawang Proton Australia, harga asal Proton Preve di Australia ditetapkan pada RM55,775 (18,990 dolar Australia) dan harga RM46,964 itu hanyalah promosi Proton di sana.


Tetapi ada pula yang mempersoalkan, jika Proton mampu memberikan harga promosi serendah itu di Australia, mengapa tidak Proton melakukan perkara sama di Malaysia yang merupakan negara pengeluar kenderaan tersebut?

Harga Proton murah kerana perlu bersaing

Bagi mendapatkan jawapan mengenai isu harga Proton yang dikatakan lebih murah di negara luar berbanding Malaysia, pihak wartawan menghubungi salah seorang pakar industri automotif untuk mendapatkan penjelasan dan pandangan beliau mengenai hal tersebut.

Menurutnya, bagi syarikat pengeluar kenderaan termasuk Proton, apa yang penting adalah keuntungan keseluruhan, di mana kereta dijual di dalam Malaysia mahupun dieksport ke luar negara mestilah secara keseluruhannya memberi keuntungan.

“Apa yang saya tahu daripada Proton, apabila kereta Proton memasuki pasaran Australia buat pertama kali, mereka perlu bersaing kerana pasaran automotif di sana lebih kompetitif berbanding pasaran Malaysia.

“Begitu juga dengan harga kereta Proton di sana, tidaklah murah sangat cuma sedikit murah daripada harga di Malaysia. Ini kerana kalau dijual mahal di Australia, Proton mungkin menanggung risiko kekurangan pembeli,” katanya yang enggan dikenali.

Menurut beliau, pada peringkat permulaan, apa yang penting adalah Proton perlu menembusi pasaran automotif di Australia serta meningkatkan kesedaran pengguna terhadap jenama Proton di negara itu, menyebabkan syarikat itu perlu menawarkan promosi terbaik termasuk harga jualan yang dilihat lebih rendah berbanding di Malaysia sendiri.

Tidak tahu sama ada Proton rugi atau untung

Walaupun kereta Proton dijual dengan harga murah di luar negara, tidak boleh dipastikan sama ada pengeluar kenderaan nasional itu memperoleh keuntungan atau mengalami kerugian.

“Kita tidak tahu mereka untung atau rugi kerana kita tidak tahu berapa kos pembuatan sebuah kereta. Kalau kosnya kurang daripada harga jualan (walaupun murah), maknanya Proton boleh melihat model mana yang sesuai untuk memasuki pasaran yang telah disasarkan.

“Katakanlah penembusan pasaran kereta disasarkan sekitar RM40,000 di sesuatu negara, jadi Proton perlu tahu sama ada harga itu kompetitif atau tidak dan melihat kesedaran pengguna di negara tersebut mengenai jenamanya,” katanya.

Menurut beliau, Proton sebelum ini diketahui mengeksport kereta keluarannya ke lebih 50 negara seluruh dunia tetapi di sesetengah negara itu, Proton cuma mampu menjual bilangan kereta yang sedikit.

“Jika hanya dapat jual sedikit kereta, macam mana hendak buat tawaran selepas jualan seperti perkhidmatan penyenggaraan? Ini juga tidak membantu dalam menjenamakan Proton di negara tersebut.

“Tetapi berbeza dengan pengurusan baru Proton, sekarang mereka hanya akan memasuki pasaran yang mereka rasa boleh menjual kenderaan dengan harga agak tinggi dan dengan harga tersebut, mereka juga dapat menyediakan perkhidmatan selepas jualan seperti servis kereta,” katanya. SH

2 comments:

Unknown said...

harga lebih sedikit x jadi masalah jika kualiti bagus.

AJAI62 said...

Assalam Bro

Masalahnya harga kereta kat Malaysia nak murah macamana.. Cukai berganda dan berbagai... contoh kalau beli kereta Honda Oddeysse di Jepun, kereta baru ya kita bayar dalam RM100,000 lebih kurang Yen 3 Juta...on the road. Bila bawa masuk Malaysia berapa pula cukai yg kita kena bayar... sebab tu harga kereta ni yang baru kat Malaysia boleh sampai cecah RM 230,000... sebab cukai tu lah...