Wednesday 2 October 2013

LAPORAN AUDIT NEGARA : BANYAK AGENSI KERAJAAN ENGGAN AKUI KELEMAHAN


KUALA LUMPUR : Jabatan kerajaan kadang-kala agak keberatan untuk mengaku kesilapan biarpun pelbagai salah urus didedahkan dalam Laporan Audit Negara setiap tahun, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed.

"Sekiranya ada kesilapan, agensi kerajaan sepatutnya mengaku kesilapan. Tidak perlu cuba menyembunyikannya," katanya sebagai mengulas Laporan Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

"Saya dapati kadang-kala jabatan kerajaan tidak mahu mengaku kelemahan," tambahnya.

Nur Jazlan juga berkata pihaknya akan memanggil "tiga atau empat" kementerian untuk memberi penjelasan berhubung apa yang didedahkan dalam laporan itu.

“Kami belum meneliti laporan berkenaan tetapi ada tiga atau empat (kementerian) yang tentunya akan dipanggil. Saya tidak akan sebut yang mana satu... tunggu dan lihat," kata Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai.

Nur Jazlan berkata kementerian berkenaan terlibat dalam urusan pembinaan dan perolehan yang melibatkan urusniaga beratus-ratus juta ringgit.

Jelas beliau, pihaknya akan meneliti laporan berkenaan dalam tempoh tiga minggu akan datang dan kemudian menyenaraikan kementerian, agensi dan jabatan yang akan dipanggil, bergantung kepada tahap kelemahan yang didedahkan.

Tambah beliau, sekiranya jawatankuasa itu menemui "isu besar" dalam laporan berkenaan, sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk bagi mengemukakan langkah pembetulan dan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Sementara itu, semua projek yang melebihi RM1 bilion akan melalui proses audit yang sedang berjalan sebelum ia disiapkan manakala projek bernilai RM500 juta akan dipantau secara berterusan, kata Nur Jazlan.


No comments: