Wednesday 2 October 2013

27 MURID TERHIDU GAS BERACUN DI KEDAH

xLu2L14

SUNGAI PETANI  – Seramai 27 murid dan seorang guru Sekolah Kebangsaan Batu 4, Jalan Jeniang, Gurun dekat sini dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Hospital Yan (HY) kerana terhidu gas beracun.


Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu dikatakan berpunca daripada racun perosak serangga yang disembur oleh pekerja ladang kawasan berhampiran sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, berdasarkan makluman awal daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda/Yan, kejadian berlaku ketika kebanyakan murid berada di sekolah tersebut bagi sesi petang.

Beliau berkata, kejadian disedari selepas beberapa murid mengadu pening-pening kepala dan ada antara mereka yang muntah.

“Mangsa telah dihantar ke klinik kesihatan berdekatan sebelum dirujuk ke HY. Namun, disebabkan HY masih mempunyai ramai pesakit yang dirawat akibat keracunan makanan tempoh hari, murid terlibat kemudian dihantar ke HSAH malam ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan sementara mereka yang dirujuk ke hospital kini berada dalam keadaan stabil.

Tajul Urus menasihatkan, murid atau penduduk sekitar kawasan sekolah yang mengalami simptom selepas terhidu gas agar segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan – UTUSAN ONLINE

No comments: