Mengulas tuduhan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Theresa Kok bahawa beliau mahu menghukum masyarakat Cina di Kedah kerana tidak mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Mukhriz berkata, jika ada lebihan peruntukan, pihak yang tidak menyokong BN pun akan turut dibantu.
“Sudah tentulah kita nak jaga orang yang sokong kita dulu (dalam pilihan raya). Apabila selesai apa yang kami (BN) janji dan jika ada lebihan peruntukan, kami akan bagilah kepada mereka (pihak yang tidak menyokong).
“Kami (BN) ada manifesto dan pihak lawan pun ada, namun dalam keputusan PRU lalu, kami yang menang, jadi sudah tentulah manifesto kami yang akan kami laksanakan. Saya ingat bukan kita (BN Kedah) saja, Kerajaan (DAP) Pulau Pinang pun buat benda sama juga,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat UMNO Kedah, di sini malam kelmarin.
Kok melalui kenyataan medianya yang disiar portal www.malaysiakini.com kelmarin, dilapor berkata, Mukhriz menunjukkan sikap tidak wajar apabila menyatakan tidak akan melayan permintaan sekolah Cina di Kedah.
Mengenai dakwaan beliau seorang yang bersikap perkauman, Mukhriz meminta Kok menilai status parti yang dinaunginya, iaitu DAP terlebih dulu sebelum menuding jari mendakwa orang lain bersifat demikian.
Sekadar persepsi
“Pada saya ia sebenarnya hanya sekadar persepsi (oleh Kok). Ahli Parlimen Seputeh kata saya rasis, tetapi bagi saya tidak, kerana kami (BN) sememangnya cuba untuk menghidupkan gagasan 1Malaysia. Namun bagi DAP sendiri, ia sememangnya jelas, amalkan rasis... kami pula ada 1Malaysia,” katanya.
Ditanya sama ada tindakan kerajaan negeri itu akan menghakis sokongan masyarakat Cina terhadap BN, Mukhriz berkata, ia sememangnya sudah terhakis.
“Pada saya, mereka (masyarakat Cina) sebenarnya tidak bernasib baik, cuba buat percaturan baru dengan menyokong DAP, tetapi apa yang mereka harapkan tidak dapat ditunaikan. Itu kesilapan besar yang saya lihat diambil masyarakat Cina di Kedah,” katanya. (BH)
No comments:
Post a Comment