Saturday, 21 December 2013

TIDAK ABAI SOLAT 5 WAKTU WALAU SIBUK BERMUZIK

Tak tinggal solat walaupun sibuk dengan kerja

MENJADI adat! Di Bollywood, apabila seseorang itu berjaya menempa nama di persada dunia sehingga menikmati hidup dalam kemewahan, mereka berpusu-pusu menukar nama Islam menjadi Hindu, sebaliknya saya selesa dengan nama Allah Rakha Rahman atau AR Rahman,” itulah kata-kata pemuzik terkenal India yang nama asalnya Dileep Kumar.

Pasti ramai di Malaysia kurang mengenali pemilik nama ini, tetapi bagi peminat filem Hindustan tegar yang pernah mendengar muzik ciptaannya dalam filem Dil Se, Taal, Swades, Chazyya Chaiyya, Rang de Basanti dan Slumdog Millionaire amat mengenalinya. Dia lebih dikenali melalui alunan muziknya.

Jiwa kosong, rasa gelisah

Pembabitan dalam dunia muzik bermula seawal usia 11 tahun, beliau menjadi matang dengan rencam dunia pemuzik. Terfikir dibenaknya perlukah seorang pemuzik menghisap rokok, mabuk dan mengambil dadah?

Pergaulannya dengan ramai pemuzik menemukan beliau dengan seorang pemuzik yang memberikannya pandangan berbeza.

Pemuzik tersebut tidak mempunyai tabiat buruk malah menghasilkan banyak karya hebat. Kerana itu AR Rahman terselamat daripada pengaruh tidak sihat.

Ada ketikanya jiwa AR Rahman berasa kosong, gelisah seakan tercari-cari sesuatu, apakah yang dicari? Adakah Tuhan?

Pada asalnya, AR Rahman langsung tidak mempercayai Tuhan, kemudiannya dia menyembah berhala, tetapi tidak mampu menenangkan hatinya yang gundah.

AR Rahman bermimpi didatangi lelaki berjubah putih mengajaknya memeluk Islam. Tapi dia tidak mengendahkan mimpi itu dan menganggap hanya mainan tidur dan mimpi itu berlarutan sekembalinya ke India. Segera dia menceritakan kepada ibunya yang kemudiannya menyarankan AR Rahman supaya memeluk Islam.

Keluarga AR Rahman ditimpa musibah apabila kakaknya sakit. Apa yang dideritai kakaknya sama seperti yang berlaku kepada bapanya menanggung sakit hingga ke akhirnya. Keluarga AR Rahman memanggil paderi dan sami Hindu untuk berdoa supaya kakaknya sembuh, tetapi langsung tiada hasilnya.

Akhirnya AR Rahman dipertemukan dengan seorang alim, Syeikh Abdul Qadir Jeelani atau Pir Qadri. Seingat AR Rahman, keluarganya pernah bertemu Pit Qadri semasa ayahnya terlantar sakit.

Dengan doa dan kaedah perubatan yang diamalkan Pit, kakak AR Rahman berjaya disembuhkan.

Kuasa besar mentadbir alam

Pengalaman perjalanan hidup banyak mengajarnya, sehingga dia dan seluruh keluarganya memilih Islam. Kehilangan ayahnya membuat AR Rahman berfikir hidup ini bukan ditentukan mengikut kehendak seseorang. Dia merasakan ada suatu kuasa besar mengatur semua itu, cuma dia tidak tahu apa, atau siapa.

Jawapannya hanya ditemui apabila dia memeluk Islam. Jiwanya merasai ketenangan yang tidak pernah ditemui sebelum ini. Bersama Islam juga dia berjaya menghilangkan perasaan rasa rendah dirinya.

AR Rahman merasakan dirinya bagai dilahirkan semula. Malah bukan itu saja, kerjayanya pun berubah mendadak, dan rezekinya melimpah-ruah.

Pada 1989, AR Rahman berjaya memiliki studio sendiri yang mempunyai kelengkapan paling canggih di Asia. Dia juga berjaya mencipta kekayaan dengan penjualan album daripada filem dan mencipta lagu.

Namun kekayaan yang melimpah-ruah tidak pernah menutup mata AR Rahman daripada melihat keindahan Islam, malah semakin mendekatkan dirinya kepada Tuhan. Dia mengatakan apabila kita dikelilingi kemewahan, duit dan populariti, kemungkinan untuk menjadi lupa diri amat mudah. Hanya kepercayaan dan keimanan yang mampu menjaga kita.

Hari ini, setelah 20 tahun lebih memeluk Islam, AR Rahman mengecapi segala ketenangan di dalam hidup melalui jalan yang ditunjukkan Islam.

AR Rahman mengaku solat banyak membantunya menghilangkan tekanan dan memberi ketenangan, harapan dan keyakinan Tuhan sentiasa bersamanya.

Semua itu bukan saja mengingatkan AR Rahman mengenai dunia, tetapi juga hari akhirat. Justeru, dia tidak tinggal sembahyang walaupun terpaksa bergelut dengan kesibukan bekerja.

Kejayaan demi kejayaan dicapai dalam bidang muzik sehingga melayakkannya digelar Mozart Madras. Tetapi AR Rahman langsung tidak melupakan apa yang pernah dilaluinya sebagaimana dia mengingati saat manis hidupnya. SH

No comments: