Sunday, 6 October 2013

BAKAL CALON PRK DUN SG. LIMAU ENGGAN TERLIBAT POLITIK

Syeikh Faisol Hj Omar

ALOR SETAR  – “Saya mahu kekal sebagai pendakwah bebas dan tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politik,” kata Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Ahmad Faisol Omar.

Beliau lebih selesa dengan kerjaya sekarang yang menjadi darah dagingnya dan keluarga sejak lebih 20 tahun lalu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan beberapa perkara dan memilih untuk terus kekal sebagai pendakwah dalam melaksanakan khidmat kepada masyarakat.

“Saya harap selepas ini tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba mengaitkan saya dengan mana-mana parti politik. Saya adalah neutral.

“Saya tidak berminat dengan mana-mana parti dan lebih selesa sebagai pendakwah bebas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ahmad Faisol berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi yang mengatakan beliau antara calon yang akan diketengahkan dalam PRK Dun Sungai Limau 4 November ini.

Menjawab persoalan itu, katanya, beliau sendiri terperanjat apabila namanya disebut di dalam akhbar dan laman web sebagai antara calon yang tersenarai untuk mewakili BN.

“Saya ingin buat penjelasan bahawa buat masa ini, saya tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politik. Cadangan saya adalah untuk kekal sebagai penjawat awam dan pendakwah bebas.

“Pendirian saya juga begitu. Mana mungkin saya terima pelawaan untuk bertanding di PRK Dun Sungai Limau sedangkan saya tidak berminat ke arah itu (berpolitik). Saya lebih selesa sebagai pendakwah yang neutral,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Ahmad Faisol yang juga bekas pelajar Maktab Mahmud antara calon yang disebut untuk dipertaruhkan menembusi tembok Pas di Sungai Limau

Antara nama yang disebut untuk mewakili BN ialah Ketua Umno Bahagian Jerai, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang mempunyai penampilan sederhana dan mesra atau Mohd Fadzillah Mohd Ali iaitu sepupu bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

PRK Dun Sungai Limau diadakan selepas penyandangnya, Azizan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada 26 September lalu selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober ini sebagai hari penamaan calon dan 4 November sebagai hari pengundian. – Sinar.

No comments: