Wednesday 17 October 2012

BAJET 2013 : PAS TIPU RAKYAT KELANTAN...???

husam

Barangkali nama Exco kanan kerajaan PAS Kelantan, Husam Musa tentunya akan tercatat dalam sejarah negeri Cik Siti Wan Kembang untuk berabad lamanya sebagai satu-satunya pemimpin negeri yang paling tersohor kerana kemahirannya menghiburkan rakyat jelata dengan seni silap mata.
Naib Presiden PAS itu memang wajar dikenang dan diingati khalayak, bukan kerana begitu besar jasa atau khidmat baktinya melata dirasai oleh rakyat jelata, tapi dek kerana uniknya cara Husam menonjolkan diri dan bijak memukau mata khalayak ramai.
Tanpa idea unik Husam, tentu sahaja sampai kini rakyat Kelantan tak kesampaian untuk merasai kehebatan seni rekabentuk sebuah Lebuhraya Rakyat, Stadium indah berbentuk rebana di Pasir Putih serta kecanggihan keretapi laju yang sekelip mata berdesup pantas menjalar di atas landasan.
Ya… kerana idea Husam, semua tiga pembangunan tercanggih di abad millenium ini kini menjadi realiti.
Dengan hanya sesaat mata terpejam rapat, semuanya indah kelihatan dalam bayangan. Cuma bila mata celik luas melilau tercari-cari sana sini segalanya hilang dari pandangan. Unik, pelik, ajaib dan menakjubkan, bukan?
Bak kata blogger anak Kelantan brader Kickdefella, semua idea dan projek yang digebang dikompang oleh kerajaan PAS Kelantan melalui Exco tersohornya itu, hanya nyata kelihatan bagi segelintir rakyat negeri yang tersampuk dek sindrom pelik sahaja – SPNCTN (Sindrom Pejam Nampak Celik Tak Nampak).
Tak percaya? Cuba para pembaca pejam mata dan bayangkan imej lebuhraya bertingkat dalam fikiran tuan-tuan, kemudian setelah jelas kelihatan, teruskan memejam mata dimasa yang sama bayangkan pula susuk imej stadium canggih beserta sebuah keretapi yang sedang menderu laju.
Tidakkah terbukti segalanya menjadi realiti tatkala tuan-tuan sekalian memejamkan mata sambil membayangkannya? Hebat bukan?
Pemimpin UMNO tak mampu lakukan seni silap mata unik sebegini, kelebihan ini hanya milik PAS dan pemimpinnya sahaja. Berkat pertapaan 61 tahun PAS sebagai parti paling eksyen dalam berkata-kata sambil menabur janji muluk lagak sang penglipur lara.
Kelebihan yang sejak berdekad-dekad lalu sudah sedia ada pada PAS dan pimpinannya itu, diteruskan lagi melalui seni silap mata yang memukau pandangan ramai dalam edisi terbaru, yang dipersembahkan melalui Bajet 2013 negeri Kelantan yang baru sahaja dibentangkan semalam oleh Exco kanan negeri yang tersohor.
Melalui Bajet 2013 Kelantan ini, buat julung kalinya kerajaan PAS Kelantan berjaya mempersembahkan satu rancangan belanjawan yang paling berjaya seterusnya memecah rekod sebagai satu-satunya belanjawan negeri yang menghasilkan bajet lebihan.
Sebelumnya sudah bertahun-tahun sejak Kelantan diurus tadbir oleh PAS, memanjang saja defisit atau dengan kata mudahnya perbelanjaan mengurus lebih tinggi daripada anggaran perolehan tahunan.
Kali ini, hasil kebijaksanaan Naib Presiden PAS merangkap anak emas kesayangan MB Kelantan, Nik Aziz Nik Mat, akhir negeri ini cukup bertuah berjaya mencatat lebihan belanjawan berjumlah RM 45.8 juta. Jauh lebih baik daripada pencapaian tahun sebelumnya yang mencatat defisit RM 83.23 juta.
Bagaimana ia dapat dilakukan? Tentulah melalui seni silap mata. Ini kelebihan PAS dan ini juga kebijaksanaan Husam selaku penglipur lara tersohor yang pernah bertapa ilmu dengan gurunya Nik Aziz dan juga mentor kesayangannya, Anwar Ibrahim.
Mengikut perbentangan yang dipersembahkan oleh Husam semalam, beliau telah mengunjurkan pada tahun depan Kelantan bakal mendapat perolehan sebanyak RM 581.77 juta termasuklah wang royalti berjumlah RM200.00 juta.
Dengan anggaran kos mengurus yang ‘cuma’ RM 535.95 juta, maka secara automatiknya terhasillah silap mata memukau pandangan dengan lebihan RM 45.8 juta.
Hebat, memang hebat, unik dan menakjubkan. Terbaik dari ladang dan terhangat di pasaran. Ya ke? Yalah tu… nama lagi silap mata yang mengelabui biji mata dan mengabui pandangan rakyat jelata.
Ini sebenarnya dinamakan sebagai cubaan menipu rakyat Kelantan dengan mendodoikan kisah indah dan enak didengar, penuh pengharapan tapi hakikatnya cuma atas kertas sahaja, tiada jaminan dan tiada kepastian.
RM 200.00 juta yang konon-kononnya wang royalti sebenarnya tak wujud pun, hanya wujud secara halusinasi atau hanya orang yang tersampuk dek sindrom SPNCTN saja yang beriya-iya mempercayainya. Kes tuntutan pun masih dalam lagi dalam proses mahkamah. Husam cuma mahu rakyat terus percaya sambil cuba memainkan sentimen kenegerian sahaja.
Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Husam itu sebetulnya mengalami defisit RM154.18 juta, hampir dua kali ganda dari bajet sebelumnya. Anggaran perolehan negeri untuk tahun 2013 sebenarnya semakin merudum kepada RM381.77 juta berbanding hasil perolehan dalam bajet sebelumnya berjumlah 427.48 juta.
Untuk menutup penurunan anggaran hasil perolehan tahun depan disamping menyapu defisit ke bawah karpet, maka sebab itulah Husam mengguna pakai seni silap matanya dengan memasukkan wang halusinasi royalti berjumlah RM200.00 juta supaya belanjawan nampak ada lebihan.
Bijak? Memang bijak, bab mengabui mata rakyat dengan janji indah dan harapan menggunung, serah saja pada PAS dan Husam.
Cuma satu pesanan, jika para pembaca terasa amat menghargai seni tipudaya silap mata Husam dan parti yang didukungnya, serta tidak mahu segala kecanggihan projeknya itu hilang dari pandangan, usah sesekali membuka kelopak mata kalian.
Biarkan saja mata terpejam rapat dengan demikian segalanya indah dalam bayangan, memukau pandangan… Ohhooo indahnya berangan…




SuaraGenerasiBaru

No comments: