Wednesday 17 October 2012

KUSWADINATA TENAT......


Pelakon veteran Kuswadinata, 74, berada dalam keadaan tenat di Hospital Ampang di sini akibat menghidap penyakit pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar sejak beberapa tahun lalu.

Menurut anak bongsunya Rizal, 23, keadaan bapanya semakin kritikal apabila doktor mengesahkan pendarahan pada ususnya merebak dan jantung pelakon itu akan berhenti pada bila-bila masa sahaja.

"Sejak dimasukkan ke wad (Hospital Ampang) pada 7 Oktober lalu, ayah diminta berpuasa sehinggalah ke hari ini (Selasa) untuk mengurangkan pendarahan dalam badan.

"Tetapi doktor sudah menjelaskan pada kami sekeluarga bahawa ayah tiada harapan untuk hidup, walaupun daripada segi luarannya dia nampak sihat.

"Kami tak mampu nak buat apa-apa melainkan menjaga dia sebaik mungkin serta menunaikan segala kehendaknya. Saya sekeluarga reda dengan ketentuan Tuhan," katanya.

Rizal ditemui di Hospital Ampang ketika kunjungan pihak media bersama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang mahu melawat ayahnya itu.

Karyawan diwakili Presidennya, Datuk Freddie Fernandez.

Selain pendarahan usus, Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang turut mengalami penyakit prostat dan masalah buah pinggang yang teruk sehingga sukar untuk beliau buang air kecil secara normal.

Isterinya, Kamariah Mohd Said, 57, berkata pada September lalu, Kuswadinata dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat penyakit yang sama.

"Penyakit suami saya mungkin berpunca daripada kanser usus yang dihidapinya pada 2008 dan dia pernah menjalani pembedahan di HKL.

"Kemudian ia melarat pada buah pinggangnya dan doktor juga mendapati dia mengalami kanser darah yang menjadi punca kepada semua penyakit.

“Sekarang ini, sebelah kiri buah pinggangnya sudah tidak boleh berfungsi manakala di bahagian kanan pula semakin membengkak," ujarnya.

Sementara itu Freddie Fernandez telah menghulurkan sumbangan berupa wang tunai kepada keluarga pelakon itu bagi mengurangkan beban mereka selain berharap agar mereka tabah menerima sebarang dugaan.

Selain Rizal, pelakon itu mempunyai tiga orang anak iaitu Jasmine, 27, Hafsham, 26 dan Irwan, 25.

No comments: