Tuesday 18 September 2012

OPRAH WINFREY - WANITA PALING BERKUASA DI AMERIKA SYARIKAT....???!!

Oprah Winfrey
Beri sokongan kepada Obama.

OPRAH WINFREY ~ Sebuah nama besar yang menempa kejayaan di sebalik kehidupan penuh cabaran.

Beliau menjadi wanita paling berkuasa dan berjaya dalam sejarah Amerika Syarikat (AS). Terlalu banyak kisah pahit manis yang mengiringi kehidupan Winfrey bermula saat beliau dilahirkan ibunya yang masih remaja dan belum berkahwin ketika itu.  


Beliau dipelihara neneknya, sebelum dihantar untuk tinggal bersama ibunya pada umur enam tahun. Mimpi ngeri Winfrey bermula sejurus selepas itu. Apabila ibunya keluar bekerja, Winfrey dicabuli berkali-kali oleh saudara lelakinya dan juga orang luar yang datang ke rumah mereka.

Penderaan seksual dihadapinya sejak umur sembilan tahun memberi kesan buruk kepada emosi beliau. Di sebalik penderitaan itu, Winfrey membuktikan kebijaksanaan luar biasa apabila dia dianugerahkan biasiswa sekolah pada umur 13 tahun.

Namun, gadis kecil itu tidak lagi boleh menerima penderaan ke atasnya, dan pada umur 14 tahun, Winfrey melarikan diri dari rumah dan hidup sendirian. Hasil kehidupan di jalanan yang liar, beliau mengandung, tetapi bayi itu mati di dalam perut.

Selepas peristiwa hitam itu, Winfrey dihantar ke Nashville, Tennessee untuk tinggal bersama bapa kandungnya, Vernon Winfrey.

Vernon bersikap tegas untuk memastikan Winfrey menjadi yang terbaik dalam hidupnya. Usaha itu ternyata membuahkan hasil apabila Winfrey menjadi pelajar cemerlang dan memenangi banyak anugerah di sekolah.

Pada umur 17 tahun, Winfrey memenangi pertandingan Ratu Cantik Kulit Hitam Tennessee dan ditawarkan tugas sebagai DJ radio di sebuah stesen untuk komuniti Afrika-Amerika. Beliau juga  memenangi biasiswa penuh untuk pengajian Komunikasi Ucapan dan Seni Persembahan di Universiti Tennessee State.

Karier Winfrey dalam bidang media semakin berkembang, menyebabkan beliau meninggalkan universiti dan bekerja di sebuah stesen televisyen sebagai wartawan dan pembaca berita.

Bermula dari situ, Winfrey berjinak dengan dunia pengacaraan dan akhirnya, personaliti beliau yang ceria dan penuh karisma membawa kepada kelahiran The Oprah Winfrey Show pada September 1985. Hanya setahun selepas itu,

The Oprah Winfrey Show disiarkan di seluruh AS dan menjadi rancangan bual bicara nombor satu di negara itu.

Wanita yang tidak pernah berhenti mencari kepuasan diri dalam karier ini kemudian mencuba bidang lakonan, dengan berlakon dalam filem arahan Steven Spielberg, The Color Purple. Sentiasa memberikan yang terbaik, Winfrey mendapat pencalonan Oscar dan Anugerah Golden Globe bagi lakonan beliau.

Selain berlakon dan menjadi hos televisyen, Winfrey turut mempunyai empayar sendiri, terdiri daripada syarikat produksi filem, dua majalah dan saluran televisyen.

Senarai dikeluarkan majalah Forbes pada 2003 menunjukkan Winfrey adalah wanita keturunan Afrika-Amerika pertama yang mempunyai harta mencecah AS$1 bilion (RM3 bilion) dalam sejarah dunia.

Di celah-celah kesibukan kariernya, Winfrey bertemu Stedman Graham pada 1986, iaitu lelaki yang masih menjadi teman lelakinya sehingga hari ini. Bukan hanya Graham, tetapi seluruh dunia turut jatuh cinta dengan Winfrey dan rancangannya yang penuh nilai murni serta motivasi.

Jadi tidak hairanlah apabila wanita serba boleh ini dinamakan sebagai antara 100 Orang Paling Berpengaruh Pada Abad ke-20 oleh majalah Time.

Pengaruh Winfrey juga dibuktikan semasa kempen pilihan raya umum AS pada 2008, apabila Winfrey buat pertama kali menyokong calon politik secara terbuka dan menganjurkan majlis kutipan dana untuk Barack Obama.

Ramai pemerhati menganggap sokongan kuat Winfrey menjadi antara faktor utama kemenangan Obama sebagai Presiden AS pertama daripada komuniti Afrika-Amerika.

Mungkin ingin berehat di kala umur mencecah 56 tahun, pada 2010, Winfrey mengumumkan keputusannya untuk menamatkan The Oprah Winfrey Show. Rancangan itu disiarkan buat kali terakhir pada 25 Mei 2011, selepas bersiaran selama 24 musim dengan lebih 5,000 episod.

Namun, ia tidak bermakna Winfrey  meninggalkan dunia pengacaraan. Sehingga kini, beliau masih mengacarakan program Oprah’s Lifeclass di saluran televisyennya sendiri, Oprah Winfrey Network.

Apa yang pasti, walau tanpa rancangan paling terkenal di dunia itu, Winfrey sentiasa dekat di hati ramai orang, dan tidak hairanlah beliau digelar ‘sahabat baik rakyat AS’ - SH

No comments: