Wednesday, 19 September 2012

AHLI PARLIMEN THAI KAGUM PENTADBIRAN UMNO



KUALA LUMPUR, 18 Sept – Kedudukan UMNO sebagai sebuah parti politik yang mempunyai struktur dan organisasi mantap menjadi tumpuan delegasi antarabangsa termasuklah anggota Parlimen dari Thailand yang mengadakan kunjungan rasmi kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Ketua delegasinya, Phirapahan Phalusuk memberitahu bahawa kedudukan UMNO sebagai teraju kepimpinan bersama-sama komponen Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara menjadi tarikan kepada anggota delegasi untuk mengetahui lebih mendalam tentang parti ini.
“UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai sokongan kuat dari akar umbi dan kekuatan inilah yang menjadi faktor kepada kami untuk mempelajari cara dan kedudukannya dalam memperkukuh parti yang menjadi tunjang dalam kerajaan,” katanya di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Wilayah Yasothon turut mengharapkan hubungan lebih akrab akan dapat dijalinkan antara kedua-dua negara melalui parti-parti politik Malaysia-Thailand dan berkongsi pandangan dalam isu-isu semasa.
“Hubungan yang tidak rasmi melalui orang perseorangan dan juga antara parti-parti politik akan memudahkan lagi penerangan dan perkongsian yang akhirnya akan membawa kepada persekitaran untuk menyemai persahabatan,” katanya.
Sebelum itu, Tengku Adnan telah menerangkan kedudukan UMNO dalam BN yang mengadakan perkongsian kuasa bersama-sama 12 anggota kompenan lain dengan sentiasa mengamalkan kesepakatan dengan setiap agenda dipersetujui bersama.
“UMNO yang ditubuhkan sejak 66 tahun lalu telah melalui perkongsian kuasa bersama-sama BN setelah 55 tahun merdeka hinggalah ke hari ini, serta anggota kompenan tidak pernah menggunakan lambang masing-masing dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebaliknya lambang BN yang dahulunya parti Perikatan digunapakai,” katanya.
Delegasi seramai 16 orang ini mewakili ahli Parlimen dari Parti Puea Thai dan Parti Demokrat yang berada di ibu negara selama tiga hari sejak 17 September lalu. – MediaUMNO

No comments: