KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU) Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya meminta agar semua umat Islam di negara ini, terutama yang terlibat dalam dunia politik agar tidak menjadikan masjid medan berceramah soal-soal politik yang menjurus kepada umpatan dan kejian khususnya di bulan Ramadan ini.
Menurutnya, Ramadan merupakan sebuah bulan di mana umat Islam sepatutnya perlu berlumba-lumba dan berusaha untuk dengan memperbaiki akhlak serta amal ibadah selaras dengan pentunjuk Al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
Katanya lagi, larangan ini jelas berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud, “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”
“Hadis tersebut jelas memperlihatkan bahawa Nabi saw melarang kita bertengkar dan memaki hamun sesama sendiri, apatah lagi di dalam masjid. Kita sebagai umat Islam tidak boleh menggunakan masjid sebagai medan untuk menyebarkan fitnah, mencerca dan memaki hamun orang lain, yang boleh mengundang perpecahan, “ tegas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.
Jelas beliau, jika ada orang-orang yang menggunakan masjid sebagai tempat untuk menghasut, mencerca dan mengata orang lain, mereka itu sebenarnya telah menyalahi sunnah Nabi Muhammad saw di mana baginda menjadi masjid itu sebagai satu tempat umat Islam bersatu, bukan sebaliknya.
“Masjid merupakan simbolik kepada perpaduan ummah. Masjid merupakan usaha Rasulullah saw untuk menyatukan ummah. Dan fungsi itu sepatutnya dikekalkan sehingga ke hari ini. Tapi ada di antara kita hari ini cuba menukar fungsi masjid itu kepada medan umpat mengumpat dan mengata sesama sendiri semata-mata kerana perbezaan ideologi politik.
“Golongan yang menggunakan rumah Allah ini sebagai tempat untuk menceritakan keburukan orang lain sebenarnya tanpa disedari, mereka sedang mensabotaj usaha Nabi Muhammad s.a.w. dengan meruntuhkan fungsi masjid sebagai simbolik perpaduan umat Islam dengan menukar fungsi masjid sebagai medan perbalahan dan perpecahan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua umat Islam di negara ini agar memanfaatkan sepenuh bulan Ramadan ini, dengan melibat gandakan amalan dan memperkemaskan akhlak diri dengan cara yang bertepatan berdasarkan petunjuk Al Quran dan Sunnah untuk mendapatkan kurniaan syurga Allah di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment