Wednesday, 25 April 2012

DS DR. ZAMBRY : KENYATAAN NIZAR BERBAUR HASUTAN, KDN MINTA SIASAT


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat kenyataan ADUN Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dikatakan telah membuat satu tuduhan serius terhadap Perdana Menteri.
Katanya kenyataan Nizar bahawa Najib telah mengarahkan pasukan keselamatan melakukan rampasan kuasa merupakan suatu yang tuduhan yang amat serius terhadap Perdana Menteri dan negara. 
Menurutnya siasatan harus dibuat kerana kenyataan Nizar itu berbaur hasutan dan apa yang diucapkannya boleh membawa implikasi besar terhadap kestabilan negara.
“Menurutnya (Nizar) berlaku pertikaman lidah antara PM dan ketua-ketua angkatan tentera…tanya nak sokong siapa…ini cukup serius. Tuduh PM, UMNO dan BN akan buat rampasan kuasa.
“Tuduhannya memberi gambaran satu perkara yang cukup menakutkan akan berlaku dan ini sangat melampau,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco, di pejabatnya di Ipoh hari ini.
Dr Zambry diminta mengulas mengenai kenyataan Nizar yang menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan satu rampasan kuasa sekiranya BN kalah dalam pilihan raya ke-13 nanti. 
Nizar membuat tuduhan itu dalam satu ceramahnya di Taman Desa Pakatan, Station 18 Pengkalan pada malam Isnin yang dihadiri lebih 1,000 orang.
Mengulas lanjut, Dr Zambry berkata rakyat seharusnya tahu menilai kenyataan Nizar merupakan satu pembohongan besar yang telah banyak membuat pembohongan tanpa rasa berdosa.
“Inilah watak dia..dalam dewan bohong di luar bohong. Begitu celupar, dia tak kisah walaupun ianya bersifat hasutan, dia tidak rasa berdosa..apa dia nak cakap, dia cakap tak kira implikasi,” katanya.
Katanya lagi beliau tidak faham dengan watak Nizar yang sanggup lakukan apa sahaja termasuk berbohong dan mengaburi mata rakyat. 
“Dia memang kaki bohong, penghasut. Setiap orang yang mengikuti hujah-hujah dia di dewan boleh nampak semua ini. Tengoklah keadaan dia dalam dewan, banyak berbohong dan bila kita tanya satu persatu balik tak boleh jawab,” katanya.

No comments: