Monday 27 March 2017

MANGSA CULIK ABU SAYYAF CERITA DETIK DIPERLAKUKAN SEPERTI HAMBA ABDI


KUALA LUMPUR – Dua daripada lima nelayan rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di Filipina pada Julai tahun lepas melalui detik menyeksakan sepanjang lebih lapan bulan berada dalam tahanan kumpulan pengganas itu.

Tayudin Anjut, 45, dan Abdul Rahim Summas, 63, yang diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di selatan republik itu pada Khamis lepas, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, malam tadi.
Menurut Tayudin, mimpi ngeri kesemua mereka yang merupakan kru kapal tunda Serudong Tiga bermula apabila diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu, Sabah pada 18 Julai 2016.
Tayudin dan Abdul Rahim yang kini mengalami pelbagai masalah kesihatan berkata mereka sering diseksa seperti hamba abdi dan hanya diberi sisa makanan kumpulan terbabit dan meminum air masin bagi meneruskan kehidupan.
“Kami disuruh memasak untuk mereka dan hanya sisa makanan mereka akan diberikan kepada kami…jika tiada lebihan makanan maka tiada makanan untuk kami.
“Mata kami sering ditutup dan tangan kami sering diikat…kami juga sering dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain pada waktu malam di dalam hutan yang tidak diketahui,” katanya sambil menangis kepada pemberita di sini hari ini.
Kedua-dua mangsa culik itu pagi tadi bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk melahirkan sendiri penghargaan kerana kerajaan tidak berputus asa menyelamatkan mereka.
“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Filipina yang menyelamatkan kami, sepanjang lapan bulan, kami tidak putus harapan dan percaya kami akan diselamatkan satu hari nanti,” katanya.
Menceritakan detik mereka diselamatkan, Tayudin berkata dia dan Abdul Rahim dibawa oleh orang kampung menaiki perahu sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Filipina.
“Pada malam itu, kami berdua tidak tahu kami sedang diselamatkan malah tiga lagi rakan yang turut diculik juga tidak mengetahuinya dan tidak dapat diselamatkan ketika itu,” katanya.
Tayudin dan Abdul Rahim yang masih trauma, berkerusi roda dan tidak mampu berjalan akibat diseksa ketika diculik turut mengalami masalah penglihatan akan dirawat di Hospital Selayang sebelum dibawa pulang ke Sabah.
Kedua-dua mangsa juga mengalami masalah pundi kencing tidak berfungsi akibat terpaksa meminum air masin.
Kedua-dua mereka turut dipertemukan dengan keluarga mereka di kediaman Perdana Menteri di Jalan Taman Duta di sini, sambil disaksikan Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Tayudin disambut isterinya Rustia Sultan, 47, dan dua anak mereka iaitu Nurerin Farisha, 13, dan Mohd Fahirin, 5, manakala Abdul Rahim disambut anak keduanya Rasniyati, 40, dan beberapa anggota keluarga lain, tidak dapat menahan tangis sejurus bertemu.
Menurut Tayudin, penculik membenarkan mereka menghubungi keluarga melalui telefon beberapa kali dalam tempoh tersebut, dan setiap kali itu juga, penculik mengugut untuk membunuh mangsa.
Abdul Rahim yang menghidap darah tinggi berada dalam keadaan lemah mengadu sakit di seluruh tubuh dan tidak boleh melihat dengan jelas.
Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid kira-kira pukul 9.30 pagi tadi mengesahkan tiga lagi rakan Tayudin dan Abdul Rahim yang turut diculik, Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, telah diselamatkan tengah malam tadi. – BERNAMA

No comments: