Monday 27 July 2015

TPM DAN EXCO DILARANG KUARKAN SEBARANG KENYATAAN SEHINGGA SIASATAN 1MDB SELESAI

seri perdana

PUTRAJAYA: Pejabat Perdana Menteri pada Isnin mengeluarkan arahan kepada anggota kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengelak membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan persepsi rakyat terhadap kepimpinan negara serta kerajaan berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sehingga hasil siasatan ke atas isu membabitkan syarikat berkenaan selesai dijalankan oleh pihak berwajib.


“Siasatan sedang berjalan dan kita perlu memberi ruang kepada pihak yang terbabit untuk menjalankan tugas mereka. Oleh itu, semua pihak lebih-lebih lagi anggota pentadbiran (jemaah menteri) termasuk YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hendaklah menunggu hasil siasatan tersebut,” ujar kenyataan itu lagi sambil menegaskan sewajarnya semua pihak mengelak daripada membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan persepsi rakyat ke atas kerajaan dan kepimpinan negara.

Kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri ini dikeluarkan sehari selepas Muhyiddin sekali lagi menyentuh tentang isu 1MDB ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad.

Muhyiddin dalan ucapannya menegaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak harus bertanggungjawab menjelaskan kepada umum isu yang melanda 1MDB.

Beliau juga bimbang, isu tersebut jika tidak ditangani dengan berkesan akan menyebabkan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri turut menjelaskan yang kerajaan telah pun mengambil tindakan yang sepatutnya bagi menangani tuduhan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak mengenai isu 1MDB ini.

Ini termasuklah arahan kabinet untuk satu siasatan dibuat oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC selain dokumen berhubung 1MDB diedarkan kepada semua anggota jemaah menteri sebelum ini.

Malah satu pasukan Petugas Khas juga telah ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan oleh sebuah media asing bahawa dana 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak serta pendedahan bekas eksekutif kanan PetroSaudi International, Xavier Andre Justo bahawa beliau telah menjual dokumen yang dicuri kepada pihak tertentu yang dipercayai berkomplot untuk menggulingkan kepimpinan negara dan kerajaan.

“InsyaAllah, jika kita tenang dan terus bersatu padu kita akan dapat menangani cabaran ini dan mempertahankan sokongan rakyat kepada kerajaan dan parti. Sokongan rakyat terhadap kerajaan dan parti akan terhakis jika kita berbalah sesama sendiri,” tegas kenyataan itu lagi.

Dalam hal ini, kata kenyataan tersebut, tindakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus membuat pelbagai tuduhan yang tidak berasas termasuk kehilangan RM42 bilion kepunyaan 1MDB walaupun penjelasan telah dibuat oleh kerajaan turut menyumbang kepada terhakisnya kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan parti.

“Kerajaan berharap semua pihak bersabar menunggu hasil siasatan yang sedang dijalankan ini bagi menentukan kesahihan tentang pelbagai dakwaan yang wujud. Pada masa yang sama kita elakkan membuat kenyataan yang boleh menganggu-gugat kestabilan kerajaan dan perpaduan parti serta negara,” kata kenyataan tersebut.-MS.

No comments: