Thursday 12 February 2015

WARIS MANGSA #MH370 DARI CHINA UGUT DEMO DEPAN PEJABAT MAS


BILA tidak dapat terima kenyataan..... Waris keluarga mangsa penumpang pesawat malang, MH370 dari China mengugut untuk mengadakan demonstrasi di luar ibu pejabat Penerbangan Malaysia (MAS) berhubung tindakan kerajaan mengisytiharkan kehilangan pesawat itu sebagai kemalangan.


Weng Wang Chen, 63, ibu kepada salah seorang penumpang yang berada dalam pesawat malang itu berkata, kumpulan berkenaan bersedia untuk menghabiskan ‘lebih banyak masa’ di Malaysia walaupun terpaksa menyambut Tahun Baru Cina di sini sehingga MAS atau kerajaan Malaysia memberikan penjelasan lanjut mengenai apa sebenarnya yang berlaku terhadap pesawat MH370.

“Kami masih tertanya-tanya dan tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Pihak ahli keluarga mahu bercakap dengan mereka dan menggesa pihak berkuasa melakukan penyiasatan semula mengenai punca kehilangan pesawat itu,” katanya kepada pemberita sebaik sahaja tiba di balai ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Rabu.

Mengulas lanjut Weng berkata, lebih ramai waris keluarga mangsa akan turut menyertai kumpulan tersebut.

Dia mendakwa kerajaan China tidak telus dalam membantu dan kurang memberikan sokongan kepada waris keluarga mangsa yang terlibat.

Kumpulan tersebut dilihat memakai kemeja-T dengan mesej tertera ‘Tolong doakan MH370′ serta membawa sepanduk ‘Tuntut kebenaran MH370. Hari ini, hari kami. Esok mungkin nasib anda pula.’

Pada 29 Januari lepas, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dilaporkan mengumumkan pesawat MAS MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap terkorban.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam selepas berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam, 8 Mac tahun lepas.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli keluarga mangsa, Kelly Wen berkata, cadangan untuk mengadakan demonstrasi itu dikemukakan oleh salah seorang daripada ahli keluarga waris yang terlibat.

“Salah seorang daripada mereka sangat risau dan mahu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan diharap dengan kedatangan kami di sini, mereka (kerajaan Malaysia) dapat memberitahu apakah tindakan selanjutnya yang akan diambil,” kata Kelly wen.

Dia menambah, mereka juga ingin tahu asas pengisytiharan kehilangan pesawat itu dibuat dan perkembangan terkini mengenai siasatan.

“Kami berhak untuk mengetahui apa yang berlaku ketika siasatan dijalankan,” katanya.

Sumber : Mstar

No comments: