Thursday, 12 February 2015

LAMAN WEB WHITE HOUSE LANCAR PETISYEN DESAK PEMBEBASAN ANWAR



Sebuah petisyen telah dibuat bagi mendesak pentadbiran Barack Obama mempercepatkan pembebasan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara sebagai polisi utama AS ke atas Malaysia.

Petisyen yang dibuat oleh rakyat Amerika Syarikat, JM dari Alexandria, Virginia, itu menegaskan bahawa Anwar ialah seorang pendokong demokrasi, percaya kepada keadilan Islam dan rakan lama Amerika Syarikat.

Setakat berita ini ditulis, seramai 9,500 penyokong telah menandatanganinya dengan sasaran sebenar sebanyak 100,000 tandatangan menjelang 12 Mac, 2015.

Petisyen yang dibuat beberapa selepas penghakiman itu turut mendakwa Anwar telah disabit dan dipenjarakan atas tuduhan yang direka-reka pada Selasa dan menambah bahawa kenyataan daripada Rumah Putih yang menyatakan kekecewaan negara Uncle Sam itu sahaja tidak memadai.

Petisyen itu telah dibuat di petitions.whitehouse.gov, sebuah laman web yang membolehkan rakyat Amerika untuk membuat petisyen mendesak kerajaan AS dalam pelbagai isu.

Namun tiada jaminan bahawa petisyen itu akan diberi pertimbangan sewajarnya.

Kenyataan di laman web itu menyebut: “Petisyen ini diwujudkan kerana kerajaan mahu mendengar daripada rakyat Amerika.

“Jika petisyen mendapat sokongan yang cukup, kakitangan White House akan menyemaknya, memastikan ia dihantar kepada pakar-pakar dasar yang sesuai, dan diberikan respon rasmi.”

Sumber: Astro Awani

Post a Comment