Wednesday, 10 December 2014

FELDA SAMAN NIK NAZMI RM10 JUTA



KUALA LUMPUR 9 Dis - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengemukakan tuntutan saman terhadap Nik Nazmi Nik Ahmad kerana mengaitkan Ketua Pengarahnya, Datuk Faizoull Ahmad dengan lelaki yang dikehendaki polis antarabangsa dalam status Facebook, 11 September lalu.

Felda melalui peguam Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dalam surat tuntutan bertarikh 27 November lalu meminta ketua Pemuda PKR itu membayar gantirugi RM10 juta dan memohon maaf dalam tempoh 7 hari kerana membuat kenyataan yang tidak berasas dan tidak benar.

"Tuduhan itu terlalu serius sehingga boleh menyebabkan anak guam kami dihina dan dibenci orang ramai dan masyarakat awam. Reputasinya mungkin tercalar sehingga bertahun-tahun," katanya.

Felda juga menuntut Nik Nazmi memohon maaf mengikut kenyataan yang akan didrafkannya sendiri untuk disiarkan, selain menghalangnya daripada melakukan tindakan sama pada masa akan datang.

Namun, exco Selangor itu dalam surat balasnya melalui firma Daim & Gamany berkata, pihaknya tidak akan meminta maaf dan tidak akan berganjak dari dakwaannya sebelum ini.

"Anak guam kami (Nik Nazmi) sebagai seorang ahli Dewan Undangan Negeri, dan Ketua Pemuda PKR, bertanggungjawab membangkitkan hal yang menyentuh kepentingan rakyat.

"Kami diarahkan menyatakan yang anak guam kami bergantung kepada pertahanan justifikasi dan komen yang adil," kata peguamnya Latheefa Koya di dalam surat itu, sambil menambah pihaknya menolak tuntutan yang dibuat dalam surat saman Felda itu.

No comments: