Thursday, 17 July 2014

THE MALAYSIA BOOK OF RECORDS IKTIRAF PROGRAM UiTM MENGUBAH DESTINI ANAK BANGSA


Program Mengubah Destinasi Anak Bangsa yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Perak mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai program keluarga angkat terbesar di Malaysia.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria, ia merupakan satu kerjasama dan pencapaian yang membanggakan bagi pihak UiTM dan kerajaan Perak.

“Program tersebut telah diiktiraf The Malaysia Book of Record kerana melibatkan penyertaan keluarga angkat dan sukarelawan teramai di Malaysia.

“Ia telah berlangsung secara serentak di seluruh Perak yang melibatkan sebanyak 816 kampung,” katanya kepada pemberita di Ipoh, Rabu.

Program yang dilaksanakan pada 20 hingga 22 Disember yang lalu itu juga mengunakan pendekatan kesukarelawan dan operasi khidmat masyarakat sebagai modus operandinya, kata beliau lagi.

Program itu merupakan salah satu strategi bagi menambah pengambilan pelajar Bumiputera di UiTM yang disasarkan mencapai sekitar 250,000 orang menjelang tahun 2020.

Jelasnya lagi, strategi program berkenaan cukup istimewa apabila melibatkan 1,600 keluarga angkat dan 1,600 pelajar sebagai sukarelawan.

Terdahulu, beliau menyampaikan penghargaan di atas kerjasama lima pihak utama yang menjayakan program tersebut iaitu UiTM Perak, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan 1 Malaysia For Youth (IM4U).

Pihak lain yang terlibat dalam program itu termasuklah Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Cawangan Perak, Pertubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Perak, Jabatan Penerangan Malaysia Perak dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Post a Comment