Pergerakan Pemuda UMNO Perak menyarankan agar kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan mewujudkan sebuah pusat khas bagi membantu golongan gelandangan di masa akan datang.
Ketuanya, Hairul Anwar Mohd Nor, berkata penubuhan pusat itu wajar dipertimbangkan kerana golongan tersebut tiada tempat khusus untuk mengadu masalah serta meminta bantuan.
Tegasnya, status sebagai bekas banduan dan penagih dadah juga menyebabkan golongan gelandangan ini tidak diterima oleh segelintir masyarakat.
“Kami akan menyediakan kertas kerja bagi mengutarakan cadangan untuk mewujudkan satu pusat khas bagi membantu golongan ini,” ulasnya lagi.
Terdahulu, beliau bersama kakitangan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan ahli beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan turun padang untuk mendekati golongan gelandangan di sekitar bandaraya Ipoh yang hidup merempat dan tidak terurus, awal pagi tadi.
Menerusi program tersebut juga, kira-kira 50 gelandangan yang ditemui menerima bungkusan makanan bersahur yang disediakan oleh pihak penganjur.
Sementara itu, Hairul Anwar, berkata pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan daripada golongan yang berkemampuan untuk membantu golongan gelandangan di negeri tersebut.
Mengulas pula mengenai program tersebut, beliau berkata, program sahur bersama gelandangan dilaksanakan bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik di bulan Ramadhan.
“Beberapa tempat yang telah dilawati dan kita dapati golongan gelandangan ini merupakan individu bujang yang tiada pekerjaan tetap dan terpisah daripada keluarga masing-masing,” katanya.
Jelasnya lagi, terdapat juga segelintir daripada gelandangan yang dijumpai itu bukan berasal dari Perak dan hidup dalam keadaan yang tidak terurus.
“Pagi ini, kita tampil memberikan sumbangan dan makanan kepada gelandangan yang dijumpai, sekaligus menyahut seruan kerajaan untuk mendekatkan diri dengan golongan berkenaan.
“Dengan cara ini, kita dapat membawa masalah yang membelenggu golongan ini untuk diketengahkan di peringkat nasional,” katanya lagi.
Jelasnya, dengan adanya kerjasama dan sokongan pelbagai pihak, program tersebut mungkin boleh dilakukan secara berkala dan tidak hanya tertumpu pada bulan Ramadhan semata-mata.
Program yang bermula sekitar 3 pagi dan dibantu oleh para Sukarelawan Barisan Nasional Youth Volunteer Perak itu telah bergerak ke beberapa lokasi terpilih antaranya Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh dan Medan Selera Dato Sagor bagi menyampaikan makanan kepada golongan gelandangan yang ditemui di kawasan berkenaan.
No comments:
Post a Comment