Saturday 21 December 2013

2 KES 2 GURU PENOLONG KANAN



KUALA LUMPUR - Gara-gara mempercayai rakan laman sosial Facebook yang tidak pernah ditemuinya, seorang guru penolong kanan di sebuah sekolah menengah di sini, menjadi mangsa culik empat lelaki warga Pakistan.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa yang berusia 40-an mengadakan pertemuan dengan seorang rakan Facebook di sebuah rumah di Setapak yang turut dihuni oleh tiga lagi rakan suspek.

Walau bagaimanapun semasa dalam perjalanan pulang, mangsa telah diculik keempat-empat suspek dan dikurung di rumah berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, kumpulan suspek kemudian menghubungi keluarga mangsa dan menuntut wang tebusan berjumlah RM5,000.

"Selepas wang tebusan dimasukkan di dalam kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik mangsa, dia telah dibebaskan keesokan paginya iaitu selepas dikurung kira-kira 36 jam di sebuah rumah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Chin Wah, sebaik sahaja laporan polis dibuat oleh keluarga mangsa pada hari sama lelaki itu dibebaskan, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas seterusnya memberkas kesemua suspek.

Katanya, kesemua suspek ditangkap dalam dua serbuan berasingan iaitu di sebuah rumah di Jalan Maarof, Bangsar dan Jalan Ketumbar, Cheras Utama pada pukul 3.20 petang dan 9.40 malam.

"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan memerangkap mangsa selepas berkenalan di laman sosial Facebook dan memperdaya mangsa untuk bertemu di suatu tempat sebelum menculik untuk dijadikan tebusan bagi mendapatkan wang," katanya lagi.

Tambah Chin Wah, hasil siasatan mendapati keempat-empat suspek yang berusia 30 hingga 40-an itu memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial tetapi tidak bekerja dan telah tinggal lebih masa.

Kata beliau, kesemua suspek direman selama dua minggu dan akan disiasat mengikut Seksyen 11 Akta Culik 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

"Setakat ini, terdapat tiga kes dilakukan kumpulan itu yang dipercayai aktif sejak awal Januari tahun ini. Kita juga percaya ada mangsa yang tidak melaporkan kejadian menimpa mereka.

"Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar berhati-hati apabila berkenalan dengan mana-mana individu yang tidak dikenali di laman sosial apatah lagi dipujuk untuk berjumpa," jelasnya.


Dalam kes yang lain pula.... (masih Guru Penolong Kanan...

AYER KEROH  : Seorang guru penolong kanan dan kekasihnya yang merupakan warga Pakistan dihadapkan ke mahkamah majistret di sini, semalam atas pertuduhan merakam video lucah di dalam sebuah rumah, November lalu.

Tertuduh, Lizah Buang, 49 dan Muhamad Usman Ali Liqat, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan yang didakwa ke atas mereka di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh.

Berdasarkan pertuduhan, Lizah dan Muhamad Usman didakwa bersama-sama merakam video lucah atau yang bertentangan dengan kesopanan awam.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Pangsapuri Bukit Beruang Utama kira-kira jam 8.30 pagi pada 16 November 2013.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Penapisan Filem 2002 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara maksima lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM3,000 terhadap Lizah, namun membantah jaminan terhadap Muhamad Usman yang merupakan warga asing.

Bagaimanapun, Lizah ketika rayuan memohon supaya jumlah wang jaminan dikurangkan memandangkan dia menanggung enam anak serta suaminya yang sakit dan tidak bekerja. Sementara itu, Muhamad Usman juga merayu supaya dibenarkan jamin terhadapnya yang mempunyai isteri di Pakistan.

Selepas mendengar rayuan tertuduh, Mohd Firdaus kemudian membenarkan Lizah diikat jamin RM2,500 sementara Muhamad Usman RM10,000 dengan dua penjamin serta syarat melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Tarikh sebutan kes bagi lantikan peguam ditetapkan pada 23 Januari 2014. 

No comments: