Friday, 20 December 2013

KEHIDUPAN DI KEM PELARIAN YANG MEMILUKAN.......

Antara suasana di kem pelarian Zaatari, di Mafraq, Jordan....
Menempuh kehidupan di kem pelarian Zaatari, Jordan, bukanlah semudah disangka di mana kebanyakan mereka hilang segala harta benda selepas meninggalkan rumah di Syria dan ha­nya tinggal di khemah serba daif dan terpaksa berhimpit.

Kem seluas 5,200 hektar persegi itu terletak di kawasan padang pasir sempadan Jordan. Jika dilihat dari tempat tinggi akan kelihatan satu kawasan penempatan dengan ribuan khemah putih menempatkan 160,000 pelarian.
Penulis bersama jurufoto, Mohamed Sairen Mohamed Nafis berasa bertuah kerana dapat memasuki kem berkenaan, walaupun dengan bantuan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Markaz Islami yang mahu dikenali sebagai Ahmad.

Kesempatan berada di kem berkenaan tidak lama, namun ia sudah memadai untuk melihat dari dekat kehidupan pelarian yang serba kekurangan.

Foto
DUA pelarian Syria menggunakan kerusi roda dan kereta tolak untuk mengangkut tong gas di hadapan pusat pengedaran Norwegian Refugee Council (NRC) yang mula mengedar dapur kepada pelarian Syria akibat cuaca buruk.

Namun, ketika kami mahu meninggalkan kawasan berkenaan, berlaku sedikit kekecohan apabila sekumpulan kanak-kanak mengerumuni van dan kereta sukarelawan termasuk wartawan. Mereka tidak membenarkan kami beredar.

Tidak cukup dengan itu, kami turut dibaling batu dan botol minuman oleh kanak-kanak pelarian Syria yang meminta kami membantu mereka sehingga ada yang 
bertindak berani membuka bonet kereta.

Bagaimanapun, keadaan kembali reda selepas wakil penuntut di Jordan yang turut menyertai misi ini meminta mereka bertenang dan menerangkan bahawa rombongan kami juga adalah saudara sesama Islam. Mereka mula beredar dan meminta maaf.

Warga Syria yang ting­gal di kem Zaatari dianggap terjamin kerana mereka dibekalkan kemudahan asas, bekalan makanan dan klinik, malah kanak-kanak diberikan pendidikan oleh Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR).

Namun, mangsa pelarian yang ditemui penulis meminta supaya melihat sendiri kehidupan mereka yang diibaratkan seperti burung dan terkurung di dalam sangkar serta tidak bebas ke mana-mana.

Hanya ada dua cara sahaja untuk mereka dibenarkan keluar dari kem itu, iaitu berkahwin de­ngan lelaki yang sanggup menikahi gadis Syria dan keduanya, jika ada keluarga di Jordan yang sanggup mengambil mereka sebagai keluarga angkat.

Bantuan yang diterima juga kadangkala terpaksa dijual untuk mendapatkan wang bagi membeli barangan keperluan lain. 

Dalam keadaan itu, mereka tidak mempunyai banyak pilihan. Jiwa mereka tidak bebas dan tertekan. Mereka seboleh-boleh­nya ingin keluar dari kem itu yang dianggap seperti penjara. 

Ketika itu juga penulis menemui Muhammad Hassan Qiwan, 46, seorang pelarian Syria yang berjalan kaki sejauh 100 kilometer (km) selama dua hari untuk sampai ke kem berkenaan. Dia turut mengendong bapanya yang lumpuh akibat dibelasah tentera Bashar.

Penempatan mangsa pelarian di kem Zatari bagaimanapun lebih tersusun berbanding penempatan haram dibina sendiri pelarian Syria seperti di Madina Shahinah, Mafraq, Jordan yang sempat dikunjungi penulis sebelum itu.

Kebetulan penulis tiba di kawasan itu pada waktu malam. Deretan khemah oren dibina di satu kawasan lapang di tepi jalan. Ia diterangi cahaya lampu yang dicuri daripada tiang elektrik di tepi jalan.

Sayu dan sebak menerjah hati penulis sebaik melihat sebuah khemah kecil yang didiami dua pasangan suami isteri bersama anak dan ibu. 

Semuanya ada 10 orang. Bayangkan mereka terpaksa berhimpit untuk duduk dan tidur.

Di khemah itu juga Said Muhammad, budak lelaki berusia empat tahun ha­nya terlantar dan menahan kesakitan kerana kaki kirinya patah dan masih berbalut simen.

Menurutnya, dia mengalami kecederaan itu selepas terdengar dentuman bom yang kuat menyebabkan dia panik dan ketakutan, sebelum melarikan diri sehingga terjatuh dan patah kaki.

Kehidupan mangsa pelarian di penempatan haram itu lebih susah, kerana mereka juga terpaksa membayar sewa tapak sebanyak Dinar Jordan (JOD) 400 bersamaan RM1,760. Bayaran perlu dilunaskan tiga bulan sekali, sedangkan mereka tidak bekerja dan hanya mengharapkan bantuan.

Harga semahal itu tentu tidak berbaloi, tambahan pula khemah yang dibina sendiri hanya menggunakan kayu dan ditutupi plastik.

Selepas berbual dan berkongsi kepahitan hidup dengan beberapa keluarga di khemah itu, penulis meminta diri dan memaklumkan akan datang semula untuk menghulurkan sedikit bantuan bagi mengubat duka mereka.

Keesokannya, seramai 42 keluarga yang mendiami kawasan itu diberikan wang sebanyak JOD 2,200 milik Bank Muamalat yang turut menghantar wakil untuk menyertai misi kemanusiaan Muslim Care.

Wajah mereka berubah ceria, malah boleh terde­ngar suara ketawa kanak-kanak. Ada antaranya mengerumuni penulis dan jurufoto, malah meminta supaya turut merakamkan gambar mereka. 

Penulis sangat bersimpati dengan nasib mangsa pelarian terbabit. Kanak-kanak dan wanita hanya berlegar-legar di kawasan perkhemahan bersama masa depan yang belum pasti, sedang kaum lelaki keluar dari pagi hingga petang untuk mencari pekerjaan.

Namun, rata-rata mereka akan pulang dalam keadaan hampa kerana polisi kerajaan Jordan yang tidak membenarkan pelarian Syria bekerja di negara berkenaan.

Jiwa mereka terus memberontak. Walaupun terselamat daripada balingan bom dan bedilan peluru, kehidupan mereka dihimpit tekanan. Mereka buntu mendapat­kan wang bagi menyara kehidupan.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi (yang mengikuti rombongan misi kemanusiaan di kem pelarian Syria, baru-baru ini) /myMetro

No comments: