Monday 19 August 2013

OPS CANTAS : 5 AHLI KONGSI GELAP 04 DITEMBAK MATI POLIS

Geng kongsi gelap 04

GEORGETOWN : Polis percaya berjaya menyelesaikan 10 kes bunuh di negara ini dengan tumpasnya lima lelaki yang mati dalam kejadian berbalas tembak dengan pihak berkuasa di sebuah pangsapuri di Sungai Nibong di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, mereka yang mati disyaki ahli kongsi gelap 04 yang dikenali sebagai J.Gobinath, 31, R.Ramesh, 27, A.Vinut, 23, M.Suresh, 25, dan M.Gobinath, 21. Kesemua mereka mempunyai alamat terakhir di negeri ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ia membabitkan tujuh kes bunuh di Pulau Pinang, dua kes di Kedah dan satu kes di Negeri Sembilan selain dua cubaan bunuh di Pulau Pinang. 


"Polis turut merampas tiga pucuk pistol dengan ujian ke atas senjata api mengaitkan lima lelaki itu dengan kes bunuh berkenaan," katanya pada sidang media sini, sebentar tadi.

Tiga pucuk pistol yang digunakan oleh penjenayah terbabit ialah jenis Noricho berwarna perak, Revolver .38 berwarna perak dan Walther PPK berwarna hitam.
Beliau berkata, penjenayah terbabit dapat ditumpaskan hasil maklumat awam dan risikan apabila sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Siasatan Khas (D9) Pulau Pinang dengan bantuan JSJ D9 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta D9 Kedah menyerbu sebuah apartmen sewaan di Century Bay di Sungai Nibong pada pukul 4.30 pagi.

Menceritakan detik serbuan itu, Abdul Rahim berkata pasukan polis telah mengetuk pintu sebuah unit di apartmen itu dan memperkenalkan diri, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan dari penghuninya menyebabkan polis terpaksa memecah pintu sebelum memasuki unit berkenaan.

“Sejurus menyerbu masuk, penghuni di dalam rumah itu terus melepaskan tembakan bertalu-talu dan berlaku kejadian berbalas tembakan antara mereka dengan polis.

“Setelah selesai berbalas tembakan dan tiada lagi berlaku ancaman, polis membuat pemeriksaan di dalam apartmen tiga bilik itu dan menemui lima lelaki mati di dalam bilik-bilik berasingan,” katanya.

No comments: