Friday 20 December 2013

EDAR DADAH - IMPIAN BERKAHWIN HANCUR......WARGA FILIPINA BERDEPAN HUKUMAN GANTUNG SAMPAI MATI


ALOR SETAR - Hasrat seorang operator mesin jentera berat warga Filipina untuk melangsungkan perkahwinannya berkecai apabila berdepan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah jenis Methampetamine seberat 3.8 kilogram, tahun lalu, di sini, semalam.
Tertuduh, Rhian De Guzman, 29, yang memegang sebuah kitab Bible kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwa berjaya membuktikan dua perkara utama iaitu, tertuduh mempunyai kawalan dan penjagaan ke atas dadah dan mempunyai pengetahuan tentang dadah tersebut.

Menurut beliau, keterangan pihak pendakwa jelas menunjukkan tertuduh mempunyai kawalan terhadap beg yang mengandungi dadah tersebut.

“Tertuduh ketika keterangan pembelaan mengemukakan bahawa beg yang mengandungi dadah tersebut diberikan oleh seseorang kepadanya.

“Secara ringkasnya pembelaan tersebut cuba menyangkal dakwaan bahawa tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai dadah yang terdapat dalam beg tersebut,” katanya.

Tambah Mohd Zaki, secara keseluruhannya beliau mendapati pembelaan yang dikemukakan tertuduh tidak boleh dipercayai dan gagal menimbulkan keraguan ke atas kes bahawa tertuduh mempunyai pemilikan terhadap dadah yang terkandung di dalam beg terbabit.

“Oleh yang demikian tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan di Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tiada altenatif lain kecuali menjatuhkan hukuman dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, De Guzman didapati melakukan kesalahan itu di Unit Pemeriksaan Penumpang Bas/Pejalan kaki, Kompleks Imigresen, Bukit Kayu Hitam, pada 26 Mac 2012, kira-kira jam 1.40 petang.

Sementara itu, dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam T Jayaraj, berkata, sebelum datang ke Malaysia tertuduh kehilangan ayah dan menyebabkan keluarganya berpecah belah.

Menurut, tertuduh tinggal bersama abang sulong dan adik bongsu, manakala ibunya berkahwin lain.

“Tertuduh juga telah bertunang dengan seorang gadis dan merancang untuk melangsungkan perkahwinan mereka dalam waktu terdekat ketika dia ditangkap.

“Oleh kerana tiada hukuman lain di bawah Seksyen 39B, saya menamatkan rayuan dan memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya keatas tertuduh,” katanya.

Manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Nur Sarah Dina Baharudin. SH

No comments: