Friday, 20 December 2013

HINA NABI MUHAMMAD SAW - PELAJAR KOLEJ SWASTA DISERAH KEPADA POLIS


Seorang pelajar sebuah kolej swasta yang didakwa menghina Nabi Muhamad serta mengaitkan bangsa Melayu sebagai khinzir dalam laman sosial Facebook miliknya ditahan di rumah keluarganya di Permyjaya di sini, semalam.

Remaja lelaki berusia 19 tahun itu ditahan beberapa anggota Pertubuhan Dakwah Kebajikan Islam Malaysia (PEKIDA) Miri selepas berjaya mengesan alamat tempat tinggalnya pada jam 12 tengah malam.


Difahamkan, menerusi Facebook miliknya yang menggunakan nama Caren Jeff, pelajar itu menambah lagi kemarahan umat Islam apabila turut menghina Nabi Muhamad dengan pelbagai perkataan kesat termasuk bodoh.

Jurucakap PEKIDA Juamrizan Mohamad berkata, tindakan pelajar terbabit keterlaluan sekali gus boleh menimbulkan ketegangan dan kemarahan umat Islam di negara ini.

Menurutnya, suspek mula memuat naik kenyataan tidak bermoral itu kelmarin dan dikesan orang awam yang kemudian berjaya membantu mendapatkan maklumat pemilik sebenar Facebook berkenaan.

“Hasilnya kita menahan suspek di rumahnya di Permyjaya sebelum dibawa dan diserahkan di Balai Polis Pusat Miri,” katanya.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati suspek mengakui mengeluarkan kenyataan itu dan cuba memohon maaf menerusi bapanya.

“Semua bukti dan telefon bimbit mangsa sudah diserahkan kepada polis dan kami berharap tindakan sewajarnya diambil bagi memberi pengajaran supaya perkara sama tidak berlaku pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, seseorang itu tidak sepatutnya menghina kepercayaan agama lain kerana boleh menimbulkan ketegangan antara kaum sekali gus mengelak kejadian tidak diingini pada masa akan datang.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

No comments: