PETALING : Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud pada Khamis.
Beliau berkata seramai 466,167 calon menduduki UPSR pada tahun ini dan pencapaian keseluruhan telah meningkat sebanyak 0.04 mata Gred Purata Nasional (GPN).
“Ini merupakan keputusan UPSR terbaik dalam tempoh empat tahun iaitu sejak tahun 2010 di mana GNP telah meningkat dari 2.31 mata pada tahun 2010 kepada 2.30 mata (2011), 2.31 mata (2012) dan 2.27 mata pada tahun ini. (Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik).
“Ini satu pencapaian yang membanggakan. Saya mengucapkan tahniah kepada semua guru dan pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang baik pada tahun ini,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR di sini.
Abd Ghafar berkata seramai 42,646 calon UPSR tahun ini berjaya memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran, peningkatan sebanyak 0.21 peratus berbanding tahun lalu.
Abd Ghafar berkata prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) di Sekolah Kebangsaan (SK) meningkat iaitu sebanyak 0.17 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi BM Pemahaman dan 0.03 mata GPMP bagi BM Penulisan berbanding tahun lepas.
Selain itu, beliau berkata mata pelajaran BM di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) turut menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 0.14 mata GPMP (BM Pemahaman) dan 0.19 mata GPMP (BM Penulisan) berbanding tahun lepas.
“Prestasi yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu telah menyumbang kepada pencapaian keseluruhan UPSR yang baik pada tahun ini,” katanya.
Bagi Bahasa Inggeris (BI) di SK, Abd Ghafar berkata prestasi keseluruhan menurun sebanyak 0.06 mata GPMP berbanding tahun lepas, dengan peratusan calon mendapat Gred A menurun sebanyak 0.2 peratus, Gred ABC menurun sebanyak 2.9 peratus manakala Gred D dan Gred E pula meningkat sebanyak 3.0 peratus berbanding tahun lepas.
Di SJK, katanya prestasi keseluruhan BI meningkat sebanyak 0.12 mata GPMP dan peratusan calon mendapat Gred A dan Gred A,B dan C turut meningkat sebanyak 4.2 peratus dan 2.1 peratus, Gred D meningkat 1.0 peratus dan peratusan calon memperoleh Gred E menurun sebanyak 3.0 peratus berbanding tahun lepas.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment