Saturday, 9 November 2013

SUBHANALLAH ..... JENAZAH MASIH SEMPURNA, KAIN KAPAN MASIH ELOK, PUSARA BERBAU WANGI....

Foto

SEGAMAT 8 Nov. - Penemuan 12 jenazah dalam keadaan sempurna biarpun telah dikebumikan dalam tempoh lapan hingga 12 tahun lalu mencetuskan kejutan dalam kerja pemindahan Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak di sini yang dibuat bagi memberi laluan pembinaan Lebuh Raya Segamat-Tangkak.



Penyelia Tanah Perkuburan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Jamaluddin Sapuan, 52, berkata, perkara tersebut disedari pekerja yang terlibat dalam usaha menggali dan memindahkan kira-kira 150 jenazah di tanah perkuburan tersebut sejak beberapa hari lalu.


"Sejak hari pertama penggalian sehingga kelmarin, terdapat 12 jasad yang dikeluarkan dengan keadaan kain kafan masih baik, cuma sedikit kotor dan lusuh. Selepas dikeluarkan, kami terus menyarungkan kain kafan yang baharu sebelum dimasukkan ke dalam keranda untuk dikebumi di tanah perkuburan baharu di Kampung Alai.

"Jasad yang kain kafannya masih elok ini baru berusia di antara lapan hingga 12 tahun dan boleh dikategorikan sebagai baharu. Jasadnya tetap sama tidak berubah seperti hari pertama dikebumikan dan hanya sedikit bahagian anggota badan yang terusik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Jamaluddin yang berpengalaman 22 tahun dalam kerja tersebut berkata, dia juga pernah menemukan jasad yang langsung tidak terusik meskipun sudah 30 tahun dikebumikan dan penemuan dalam kerja pemindahan jenazah ke tanah perkuburan baharu ini perlu menjadi pengajaran sebagai bukti kekuasaan Allah.

Dia yang sebelum ini terlibat dengan kerja pemindahan tanah perkuburan di Pengerang, Kota Tinggi, berkata, sejak hari pertama kerja dijalankan tanah perkuburan tersebut diselubungi bau harum, namun dia menganggap itu sebagai paparan pengajaran untuk umat akhir zaman.


Sementara itu, Rahmah Mohd Zain, 77, waris kepada dua jasad yang tidak terusik tersebut berkata, ini merupakan kali pertama dia berhadapan dengan situasi seperti itu dan bersyukur dapat melihat kebesaran dan kekuasaan Allah.

"Saya pernah tinggal berhampiran kubur ini selama 32 tahun. Di sini, terdapat empat buah kubur waris saya iaitu kubur datuk, emak, kakak ipar dan adik lelaki saya. Kubur kakak ipar, Senyum Salleh dan adik lelaki saya, Harun Mohd. Zain sahaja yang masih elok kain kafannya.

"Salah satu jasad yang masih elok itu ialah Ahmad Raof dan seorang lagi dikenali sebagai Mehran yang sewaktu hayatnya merupakan seorang yang alim dan sering ke surau lama yang terletak bersebelahan kubur ini. Arwah Mehran pula tidak pernah meninggalkan solat, di samping mengajar mengaji tanpa upah," katanya lagi. 

1 comment: