Saturday, 9 November 2013

NEGARA ANGGOTA UNESCO BERMINAT DAPATKAN KEPAKARAN BIDANG PENDIDIKAN MALAYSIA

PARIS, 8 Nov  — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beberapa negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) berminat untuk mendapatkan kepakaran Malaysia terutamanya dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata negara-negara itu termasuk Oman, Indonesia dan Namibia yang kagum dengan perkembangan dan inisiatif yang telah dicapai Malaysia terutamanya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan baru-baru ini.
“Dengan Oman, kita dah ada memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan. Menterinya (Dr Madiha Al-Shaibani) minta kita tingkatkan lagi secara lebih aktif kerana beliau sendiri berminat tentang perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai Malaysia, contohnya dalam bidang latihan dan pendidikan guru.
“Beliau minta kita bantu kementeriannya, dengan ini kita akan tetapkan tarikh (mesyuarat) untuk jawatankuasa bersama diadakan dengan seberapa segera,” katanya pada sidang akhbar bersama media Malaysia di sini Jumaat.
Turut hadir Duta Malaysia di Perancis Tan Sri Ismail Omar.
Pada Khamis, selain Al-Shaibani, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Namibia Dr David Namwandi dan Menteri Pendidikan Indonesia Prof Dr Mohammad Nuh.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata Namwandi memaklumkan ramai pelajar negara itu yang berminat untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia kerana kualiti pendidikan yang amat baik dan tinggi.
“Beliau (Namwandi) berpuashati dengan (perkembangan) pelajar-pelajar (Namibia) yang sedang belajar di Malaysia, beliau juga minta kita adakan satu MoU (dalam bidang pendidikan),” katanya.
Muhyiddin berkata Mohammad pula mengucapkan terima kasih kerana kerajaan Malaysia membenarkan kerajaan negara itu (Indonesia) membuka kelas untuk anak-anak pekerja Indonesia, terutamanya di Sabah.
“Kelas itu sudah siap dan akan digunakan dalam tempoh terdekat. Perkara ini juga selaras dengan prinsip Unesco di mana sesiapa saja tidak dihalang untuk mendapat pendidikan,” katanya.
– BERNAMA

No comments: