Friday 1 November 2013

3 GERABAK TREN TERGELINCIR, 120 PENUMPANG SELAMAT

1

RAWANG : Seramai 120 penumpang yang menaiki tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter tiga gerabak cemas selepas ia tergelincir berhampiran Stesen Rawang di kilometer 354.88 jam 10.00 pagi tadi.

Bagaimanapun kesemua penumpang terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu. 
Pengurus Komunikasi Korporat KTM Berhad Siti Badariah Wan Hanafi berkata, perkhidmatan KTM Komuter dan ETS di Sektor Tengah mengalami gangguan ekoran insiden kegelinciran yang berlaku berhampiran Stesen Rawang di kilometer 354.88, pagi tadi.
Menurutnya, tren yang mengalami kegelinciran adalah tren KTM Komuter tiga gerabak yang membawa penumpang seramai 120 orang.
“Penumpang yang terselamat dipindahkan ke Stesen KTM Rawang menggunakan Tren Enam Gerabak dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
“Insiden itu menyebabkan beberapa perkhidmatan KTM Berhad telah mengalami gangguan iaitu Perkhidmatan Komuter bagi laluan Rawang – Tanjung dan Tren ETS Silver KL Sentral-Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan media.
Siti Badariah berkata, semua penumpang akan menggunakan perkhidmatan bas dari Rawang–Serendah dan Serendah-Rawang sebelum menaiki tren ke destinasi masing-masing. Perkhidmatan bas shuttle ini disediakan secara percuma bagi pengguna laluan Rawang-Tanjung.
“Bagi Tren ETS Silver–KL Sentral-Ipoh perkhidmatan ini akan ditamatkan di stesen Rawang dan penumpang akan menaiki bas ke Stesen Serendah dan meneruskan perjalanan ke Ipoh menggunakan ETS.
“Penumpang boleh meminta pemulangan tambang penuh untuk perkhidmatan yang dibatalkan ataupun menukar semula tarikh perjalanan. Kerja-kerja membaik pulih landasan sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, KTM Berhad memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami. Maklumat lanjut, sila hubungi talian KTMB Care Line 1-300-88-5862.

No comments: