Saya
berasa pelik melihat mulut mereka terkumat-kamit seolah-olah membaca
sesuatu sambil meludah ke lantai manakala sebahagian lagi menghantukkan
kepala ke dinding berulang-kali dengan perlahan sambil menyanyikan
sesuatu yang tidak kami fahami.
“Tidak lama selepas itu bas kami gagal dikawal seolah-olah ada satu
kuasa ghaib yang mengendalikannya sehingga sistem brek bas gagal
berfungsi dan memaksa pemandu merapatkan bas ke kiri jalan kawasan
berbukit bagi mengelak kami terjunam ke kawasan gaung di kanan jalan,”
katanya ditemui pada Majlis Menyambut Kepulangan Wira Negara, di sini,
kelmarin.
Sistem brek bas tidak berfungsi ketika membawa keluar pengganas Sulu
yang ditahan di kawasan pertempuran di Kampung Tanduo serta menyaksikan
pengganas yang tidak mati walaupun ditembak bertalu-talu adalah antara
pengalaman yang sukar dilupakan pasukan keselamatan dalam Ops Daulat.
Berkongsi pengalaman dan kisah pelik dengan media, pegawai dan anggota
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang lebih sebulan terbabit dalam Ops
Daulat di Pantai Timur Sabah berkata, bas berkenaan disahkan sempurna
bahagian teknikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum membawa naik
pengganas berkenaan.
Masalah mula dikesan selepas pengganas dibawa keluar menuju ke Balai
Polis Cenderawasih, FELDA Sahabat kira-kira 30 kilometer dari Kampung
Tanduo.
Seorang anggota JSJ yang enggan dikenali memberitahu dia mengesan
perlakuan pelik beberapa pengganas terutama yang berumur lewat 60-an
ketika membawa mereka ke balai polis sehingga pemandu bas sukar mengawal
stereng selain bas menghadapi beberapa masalah teknikal.
Tukar kenderaan
Masalah brek berterusan walaupun kami menukar bas dan keadaan hanya
kembali pulih apabila semua tahanan kemudian dibawa menaiki lori ke
Balai Polis Cenderawasih.
Bagi Superintendan Fadil Marsus, yang juga antara ketua operasi JSJ
dalam Ops Daulat berkata, pengalaman memastikan kelancaran perjalanan
siasatan kes dalam Ops Daulat sangat berbeza dengan tugasan membanteras
penjenayah seperti sebelum ini.
Beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling
Jaya berkata, tugas setiap pegawai dan anggota JSJ adalah sebagai
pasukan sokongan untuk memastikan keadaan selamat ketika mengiringi
tahanan pengganas Sulu ke mana-mana lokasi selain memastikan kelancaran
operasi pemeriksaan pasukan forensik.
Bagi Sarjan Zumet Ibok, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Berat
(D9) Bukit Aman, tugas mengiringi beberapa pemimpin tertinggi PDRM juga
dianggap sebagai satu tugas mencabar sepanjang Ops Daulat.
“Ini kerana semua orang-orang penting pasukan PDRM sentiasa menjadi
sasaran musuh (pengganas Sulu) untuk dijadikan tebusan,” katanya. - BH
No comments:
Post a Comment