Friday, 8 February 2013

BEKAS EXCO PAS GESA PIHAK POLIS SIASAT SEMULA PENYELEWENGAN TABUNG MEMALI



Bekas Exco Dewan Pemuda PAS Kedah, Zainon Ismail meminta polis membuka semula kertas siasatan berhubung laporan yang dibuatnya pada tahun 2000 berkenaan dakwaan penyelewengan wang kutipan derma Tabung Mangsa Memali.

Zainon berkata siasatan yang dijalankan tatkala itu tidak dilakukan dengan telus selain dirinya pada waktu itu berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


“Laporan polis tentang penyelewengan Tabung Memali telah dibuat pada tahun 2000..dan apa yang saya harapkan adalah agar pihak polis supaya membuka semula fail ini. 

“Dan saya minta pihak polis khususnya supaya bersikap lebih telus kerana selepas laporan itu, saya ditahan di bawah ISA..siasatan itu macam terberhenti sekejap,” katanya dalam sidang medianya malam tadi.

Zainon berkata sehingga kini beliau tidak menerima sebarang kenyataan rasmi atau tidak rasmi berhubung hasil siasatan tersebut.

Terkini, pada 6 Februari lalu, Zainon sekali lagi membuat laporan polis, kali ini membabitkan kewangan balu Memali yang dikatakan dipaksa membayar yuran guaman, walhal dalam masa yang sama kutipan dana dari orang ramai masih diteruskan.

Laporan yang dibuat sebagai menyahut cabaran dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar itu, turut menyebut kehilangan wang hasil penjualan mesin jahit, bengkel jahitan Memali yang dianggarkan bernilai RM60,000.

Pada tahun 2000, Zainon membuat laporan polis bersabit baki RM60,000 daripada Tabung Mangsa Memali yang hilang tanpa jejak setelah ianya ditutup oleh mantan Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pada tahun yang sama.

Dana tersebut diperolehi daripada kutipan wang orang ramai yang diiklankan di dalam akhbar Harakah dan diuar-uarkan dalam setiap sesi ceramah PAS.

Zainon yang merupakan antara tiga individu yang bertanggungjawab menguruskan wang kutipan itu mendakwa dana tersebut tidak pernah diaudit.

Tetapi sebaik sahaja laporan polis dibuat, satu audit palsu katanya telah diusahakan oleh Setiausaha PAS Kawasan Baling merangkap Setiausaha Jawatankuasa Tadbir Madrasah Al-Islahiah Diniah, Senator Datuk Yusuf Hussin.

Zainon tanpa berselindung turut menamakan Yusof Hussin sebagai 'dalang' di sebalik penyelewengan itu dalam buku tulisannya, 'Air Mata Di Bumi Memali'.

“Semasa saya berada di Kemunting pada tahun 2002, tabung ini ditutup oleh Ustaz Fadzil dan bakinya mengikut mangsa-mangsa Memali, ada tercatat lebih kurang RM60,000 yang masih tidak diberikan kepada mereka.

“Tabung ini pertama sekali, tidak ada jawatankuasa..Yang keduanya, tabung ini tidak pernah diaudit daripada tahun 1986 sampailah ia ditutup pada tahun 2000, tak pernah diaudit.

“Bila saya buat laporan polis, barulah berlaku audit iaitu audit palsu yang dibuat Yusuf Hussin dan dibantu oleh beberapa orang ahli jawatankuasa PAS kawasan (yang) membuat audit palsu sampai tak tidur beberapa malam,” tegas bekas wartawan lidah rasmi PAS, Harakah ini," katanya.



Peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985 telah mengorbankan seramai 14 orang dan menyaksikan berpuluh yang lain tercedera.

Insiden yang dinamakan ‘Operasi Angkara/Operasi Hapus’ oleh pihak berkuasa itu menyaksikan penahanan beratus-ratus orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ia dilaksanakan pihak berkuasa bagi menangani penularan ajaran sesat yang dipercayai cuba dibawa oleh Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya yang turut terbunuh semasa insiden tersebut. - antarapos (  DI SINI  )

No comments: