Wednesday, 9 January 2013

HIMPUNAN PEMBANGKNG 12 JANUARI DIBENARKAN....!!!

Post Pic

KUALA LUMPUR : Polis bersetuju untuk memberi kebenaran kepada pakatan pembangkang menganjurkan Himpunan Sejuta Rakyat yang dijadual berlangsung pada 12 Januari ini, menurut Pengerusinya Mohamad Sabu.

Katanya, perbincangan selama satu jam bersama Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar dan pegawai tertinggi polis sebentar tadi mencapai persetujuan untuk memastikan himpunan tersebut pada Sabtu nanti berlangsung secara aman berlandaskan Akta Perhimpunan Aman (PAA).

"Mereka (polis) akan pastikan ia berlangsung dalam keadaan aman untuk pastikan ini rekod paling aman dan ini adalah satu perubahan sejarah pentadbiran di bawah Akta Perhimpunan Aman," katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas menghadiri mesyuarat tertutup bersama KPN.

Dalam pada itu, ditanya mengenai lokasi himpunan yang masih belum mendapat kelulusan, Mat Sabu berkata, pihaknya akan menunggu jawapan daripada pihak pengurusan Stadium Merdeka sehingga jam satu petang esok.

Menurutnya, sekiranya masih tiada jawapan atau penolakan daripada pihak pengurusan, jawatankuasa induk sekretariat akan bermesyuarat bagi mencari lokasi baru.

"Sehingga besok, jika tiada khabar berita, jawatankuasa induk akan bermesyuarat. Jika ada perubahan kami akan maklumkan pada polis.

"Kami juga akan membuat satu sidang media esok di Ibu Pejabat PAS pada jam 4 petang bagi memaklumkan sebarang perubahan kepada media," katanya yang juga Timbalan Presiden PAS.

Parlimen pada tahun 2011 meluluskan PAA yang bentangkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meliputi hak bukan sahaja kepada penganjur dan peserta untuk menyertai perhimpunan secara aman tanpa senjata malah turut mengambil kira kepentingan awam dan masyarakat setempat.

Ini berikutan beberapa sesi demonstrasi haram yang dianjurkan sebelum ini oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-pembangkang sehingga menganggu keselamatan dan ketenteraman awam.

No comments: