Saturday, 12 May 2012

PART 3 - SURAT TERBUKA TAMRIN TUN GHAFAR UNTUK YAB PERDANA MENTERI


5. PINJAMAN PTPTN


Saya cukup tertarik dengan tawaran Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan hutang pinjaman PTPTN kepada para pelajar pusat pengajian tinggi dan ingin memberi pendidikan percuma kepada rakyat. Bagi saya, tawaran Pakatan Rakyat itu amat baik dan relevan demi kepentingan rakyat, generasi muda dan kepentingan melahirkan lebih ramai modal insan yang berkualiti untuk negara.


Demi kepentingan rakyat dan untuk mendapatkan kembali sokongan generasi muda dalam pilihanraya umum ini, saya ingin menyarankan agar YAB Dato’ Sri segera bertindak pantas menghapuskan pinjaman PTPTN ini kerana ia didapati begitu membebankan pelajar dan menyebabkan mereka dibelenggu dengan hutang sebelum pun memasuki dunia pekerjaan.


Pinjaman PTPTN ini ternyata amat membebankan generasi muda dan tidak adil jika dilihat daripada kesediaan kerajaan memberikan pinjaman RM250 juta dengan kadar faedah hanya 2% serta diberikan tempoh membayar balik selepas lima tahun yang diberikan kepada projek lembu NFC.


Lagi pun, jika hutang Tan Sri Tajuddin Ramli berjumlah RM589 juta terhadap kerajaan pun dapat dilupuskan, tentulah tiada masalah bagi pihak kerajaan menghapuskan hutang PTPTN ini demi kepentingan modal insan negara.


Saya bersetuju dengan pandangan Tengku Razaleigh melalui hasil minyak negara sebanyak antara RM80 hingga RM90 bilion setahun, ianya tidak menjadi masalah kepada pihak kerajaan untuk memperuntukkan sebahagian kecil daripadanya untuk membiayai pelajaran anak-anak muda kerana mereka inilah harta negara sebenarnya yang perlu diberi perhatian serta tumpuan.


Mengapakah kerajaan terlalu berkira sangat dalam soal hutang PTPTN ini kerana jika mengikut laporan di mana hutangnya hanya tinggal RM24 billion dan andainya pembayaran balik dilakukan dalam tempoh 10 atau 15 tahun, kerajaan hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan yang kecil sahaja sedangkan inilah pelaburan terbaik untuk masa depan negara.


Oleh kerana cadangan ini datangnya dari Pakatan Rakyat, kerajaan menolaknya dengan alasan yang susah diterima akal yang waras iaitu negara akan bankrap jika sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan. Amat cetek sekali pemikiran dan pendekatan kerajaan dalam menangani isu PTPTN ini.


Yang sedih dan memilukan apabila sekumpulan “askar-askar upahan” mencederakan anak-anak muda (penuntut) yang berpiket secara aman di Dataran Merdeka. Saya diberitahu, anggota polis yang berhampiran mengambil masa agak lama sebelum bertindak seolah-olah mengizinkan insiden tersebut. Begitu juga tindakan kasar Penguatkuasa DBKL. Sekarang ini mereka menyalahkan anak-anak muda ini pula dengan mengheretnya ke mahkamah – Ialah mereka yang berkuasa!!


6. CAMPURTANGAN SISTEM KEHAKIMAN


Baru-baru ini telah didedahkan minit mesyuarat pengurusan Felda yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri sendiri di mana di dapati wujud usaha campurtangan untuk mempengaruhi hakim-hakim dalam kes-kes mahkamah yang melibatkan antara para peneroka dengan Felda. Pendedahan ini begitu mengejutkan kerana ia didapati campurtangan yang tidak wajar dilakukan oleh seorang Perdana Menteri yang saban hari melaungkan perjuangan mengutamakan rakyat, termasuk peneroka. Kata mereka mungkin banyak lagi kes-kes yang membabitkan campurtangan YAB Dato’ Sri dalam sistem kehakiman ini.


Adalah penting untuk YAB Dato’ Sri membersihkan nama dalam hal ini dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana ianya boleh berlaku. Pandangan rakyat dalam hal ini amat mudah, jika ianya tidak benar mustahil ia boleh dimasukkan dalam minit mesyuarat pengurusan Felda yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri sendiri. Sudah mula kedengaran cakap-cakap, dulu Mahathir sekarang Najib pula!


7. ISU PENGUNDI HANTU DAN HIMPUNAN BERSIH 3.0


Mengikut laporan-laporan yang didedahkan dalam media, isu pengundi hantu dan berleluasanya amalan menjadikan warga asing sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi amat menakutkan sekali. Warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Kemboja didapati begitu ramai dijadikan sebagai pengundi.


Dalam masa yang sama, pengundi hantu di beberapa kawasan dan negeri juga didapati bertambah dengan mendadak. Selain Selangor yang didapati berlaku pertambahan jumlah pengundi yang besar, dilaporkan di kawasan Parlimen Pekan sendiri, jumlah pengundi baru bertambah sebanyak lebih 18 ribu. Ini tentunya merupakan suatu pertambahan yang meragukan.


Mengikut mereka, pertambahan jumlah pengundi di Pekan dilakukan selepas YAB Dato’ Sri menang tipis cuma 241 undi pada 1999 di mana pengimportan pengundi warganegara asing daripada Kemboja dan Myanmar berjumlah beberapa ribu orang bermula.


Oleh kerana media cetak dan elektronik utama dikuasai kerajaan, maka pelbagai pendedahan telah dibuat melalui akhbar Harakah dan Suara Keadilan. Rata-rata rakyat amat sedih melihat bagaimana kerajaan sanggup memberi kerakyatan kepada berpuluh ribu orang asing sebegitu mudah semata-mata untuk menang dalam pilihanraya ini.


Proses membersihkan senarai pengundi amatlah penting dilakukan supaya pilihanraya berjalan dengan adil dan bersih. Adalah tidak berguna memenangi pilihanraya jika kemenangan itu hanya disumbangkan oleh undi daripada rakyat Bangladesh, Indonesia, Myanmar serta Kemboja dan ia tidak lebih umpama kata pepatah “menang sorak kampung tergadai” atau “menang pilihanraya negara tergadai”. Nauzubillah!


Oleh kerana kebanjiran begitu ramai rakyat negara asing dianugerahkan kad pengenalan biru untuk dijadikan pengundi terutama di Selangor dan beberapa kawasan tertentu, sudah ada ejekan iaitu UMNO bukan lagi United Malay National Organisation tetapi berubah kepada United Myanmar Nepalese Organisation. You have to prove them wrong.


YAB Dato’ Sri,


Rakyat sebenarnya mahukan pilihanraya yang bersih, bersih dari segala jenis penipuan dan SPR yang benar-benar bebas tetapi jelas terbukti kerajaan seperti tidak mahu melayani permintaan-permintaan tersebut dan SPR pula bersubahat dengan kerajaan. Kerajaan yang bersih sepatutnya menerima dengan hati terbuka kehendak rakyat yang mahukan pilihanraya yang bersih.


Untuk maksud tersebut, YAB Dato’ Sri mestilah serta-merta melantik Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR yang baru, ini ekoran pendedahan kedua-dua mereka iaitu Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah ahli UMNO. Patutlah kedua-dua mereka ini dilihat tidak bersikap bebas dan bersih melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan seperti yang dituntut oleh Perlembagaan dan undang-undang.


Tidak salah kakitangan awam menjadi ahli mana-mana parti tetapi masyarakat mengharapkan penjawat jawatan tinggi seperti Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR mestilah bebas dari hubungan dengan mana-mana parti politik.


Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR yang baru WAJIB bertindak serta-merta membersihkan daftar pengundi dengan sebaik mungkin dan menolak kewujudan pengundi hantu yang tidak masuk akal seperti wujudnya nama 100 pengundi yang menggunakan satu alamat rumah.


Kewujudkan warga asing sebagai pengundi juga mesti dibersihkan demi maruah dan keselamatan negara. Justeru atas permintaan BERSIH, YAB Dato’ Sri perlu menubuhkan segera sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes-kes pemberian kad pengenalan dan mendaftarkan warga asing sebagai pengundi. Jika di Sabah Suruhanjaya Diraja boleh ditubuhkan walaupun belum dilaksanakan, untuk menyiasat isu kebanjiran beratus ribu warga asing di sana dan betapa mudahnya mereka memperolehi kad pengenalan, saya tidak nampak ia tidak boleh dilakukan.


Naib Presiden UMNO, Datuk Shafie Afdal baru-baru ini menyelar parti-parti politik yang kononnya akan menerima bantuan asing dan menyifatkan ianya amat merbahaya terhadap kedaulatan negara tetapi saya ingin memberitahu, perbuatan memberi kerakyatan kepada warga asing untuk menjadi pengundi adalah jauh lebih merbahaya daripada itu.


Sehubungan itu, selain saya menyokong Himpunan Bersih 3.0 28 April ini, saya juga berpendapat bahawa UMNO dan kerajaan tidak mempunyai alasan untuk tidak membenarkan perhimpunan tersebut diadakan secara aman di Dataran Merdeka seperti yang dicadangkan. Dataran Merdeka adalah HAK rakyat juga asalkan mereka tidak merosakkannya.


Oleh kerana yang dituntut hanyalah proses pilihanraya yang bersih, jika YAB Dato’ Sri menentang dan menunjukkan sikap keras terhadap tuntutan rakyat sebagaimana Bersih 1.0 dan 2.0, ia hanya menyerlahkan YAB Dato’ Sri berada di pihak yang “kotor”. Diharap polis dan samseng-samseng tidak akan digunakan untuk membelasah dan menangkap mereka yang akan mengambil bahagian pada 28 April ini dan kemudiannya akan menyalahkan mereka yang dizalimi.


Dalam hal ini YAB Dato’ Sri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Aziz Yusof (SPR) dan Datuk Noh Omar serta Datuk Zambry Abdul Kadir sebagai umat Islam perlu berani menjunjung al Quran bersumpah di mana-mana masjid bahawa YAB Dato’ Sri dan mereka TIDAK tahu-menahu langsung berkenaan skim penipuan mendaftarkan warganegara asing sebagai pengundi, menempatkan berpuluh ribu rakyat warga asing yang telah diberi kad pengenalan biru di Sabah dan sebagai pengundi di Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Pahang dan juga Wilayah Persekutuan.


Mengikut Perlembagaan Negara dan undang-undang, perbuatan keji seperti ini adalah merupakan PENGKHIANATAN (TREASON) KEPADA NEGARA dan hukumannya ialah gantung sampai mati seperti mana kes Al Maunah suatu ketika dahulu.


Begitu juga dengan tindakan SPR memindahkan pengundi dari tempat asal ke tempat lain TANPA mendapat izin tuan punya diri dan penggunaan jentera kerajaan secara berleluasa termasuk propaganda akhbar dan juga stesen radio serta tv mesti dihentikan serta-merta.


Mengikut hukum Islam pun, matlamat tidak menghalalkan cara dan matlamat yang benar mesti dicapai melalui kaedah yang benar jua.


Saya penuh yakin kiranya tindakan-tindakan yang konkrit ke arah memastikan perjalanan pilihanraya umum akan datang yang benar-benar bersih daripada tipu helah sebagaimana dikehendaki rakyat dapat dilakukan, ia mampu melonjakkan keyakinan rakyat dan YAB Dato’ Sri sendiri akan dikenang sebagai Perdana Menteri yang berani, telus dan penuh wibawa. Malah masyarakat antarabangsa pun akan menghormati YAB Dato’ Sri.


8. HUBUNGAN DENGAN ISRAEL


Mengenai hubungan dengan Israel ini, saya melihat persepsi rakyat amat keliru kerana sementara Datuk Seri Anwar cuba dikaitkan dengan sokongan terhadap Israel, hakikat yang terbentang di depan mata ialah wujudnya hubungan dagang yang berterusan antara Malaysia dan Israel seperti pengakuan di Parlimen serta tindakan YAB Dato’ Sri melantik sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Israel iaitu Apco sebagai perunding media kepada kerajaan dengan bayaran RM77 juta setahun. Ini menjadikan apa pun penjelasan yang cuba diberi oleh pihak kerajaan sentiasa menimbulkan kesangsian serta tanda tanya.


Sebenarnya hubungan dengan Israel bermula dalam sekitar 1980an semasa zaman Tun Mahathir lagi apabila beliau secara senyap-senyap menghantar Tengku Abdullah (Melewar) ke Tel Aviv. Saya masih menyimpan ucapan saya di Parlimen di mana saya menegur tindakan kerajaan berhubung perkara itu.


Amat menghairankan lagi apabila usul yang cuba dikemukakan oleh wakil pembangkang berhubung isu ini di Parlimen baru-baru ini agar kerajaan menghentikan sama-sekali perdagangan dengan Israel dan dalam masa yang sana meningkatkan jumlah bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza, telah juga ditolak oleh Speaker.


Jika benar-benar ikhlas, YAB Dato’ Sri sepatutnya tidak merasa takut untuk mengarahkan Speaker agar menerima usul tersebut untuk dibahas dan diundi dan bukan sebaliknya. Sekarang rakyat khasnya masyarakat Islam sudah mulai nampak siapakah (antara YAB Dato’ Sri dan Datuk Seri Anwar) yang menyokong Israel.


9. PEMILIHAN CALON PILIHANRAYA


Untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya, selain keyakinan rakyat terhadap UMNO dikembalikan, pemilihan calon yang sesuai dan diterima rakyat juga amat penting. Sementara YAB Dato’ Sri meletakkan kriteria “winnable” sebagai prasyarat terhadap calon dalam pilihanraya, rakyat juga sebenarnya ingin melihat YAB Dato’ Sri tidak begitu terkongkong dengan faktor jawatan seseorang dalam UMNO bagi pemilihan calon pilihanraya.


Sebagaimana pandangan Tun Dr Mahathir bahawa kebanyakan calon BN kini membawa imej rasuah dan agar UMNO perlu memilih calon yang lebih berkelayakan walaupun orang luar dalam pilihanraya akan datang jika ingin menang. Saya amat bersetuju dengan pandangan tersebut dan ingin menarik perhatian YAB Dato’ Sri sebagai contoh wakil-wakil rakyat Pas terutamanya di Kedah mereka terdiri daripada kalangan professional, berkelayakan serta berhemah berbanding wakil-wakil rakyat UMNO dan BN di sana yang majoritinya tidak pun lulus SPM.


10. PENINGKATAN KOS SARA HIDUP


Kerajaan pimpinan YAB Dato’ Sri dilaporkan mahu melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan atau GST sebagai suatu kaedah percukaian dan menambah kantung perbendaharaan negara selepas pilihanraya ini. Melihat kepada beban hidup rakyat sedia ada, saya bersetuju dengan bantahan pihak pembangkang agar GST ini tidak dilaksanakan pada bila-bila masa kerana ia hanya akan menambahkan lagi kesengsaraan hidup rakyat.


Pada pandangan saya, kaedah cukai sedia ada di samping harga barang yang semakin mahal sudah cukup membebankan rakyat.


11. DAKWAAN BIADAP WAKIL-WAKIL RAKYAT PAKATAN


Baru-baru ini, saya berbual dengan beberapa orang surau di Ampang dan reaksi mereka terhadap laporan kononnya wakil-wakil rakyat Pakatan tidak menghormati Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu pada majlis pertabalan baru-baru ini adalah satu lagi taktik kotor dan ‘desperado’ UMNO dan BN kerana apabila dicabar menama dan membuktikan tuduhan tersebut, Menteri Penerangan dan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang turut bersuara, gagal berbuat demikian.


Mereka mengingatkan saya bagaimana pada awal tahun 1980an, pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir telah mencaci dan menghina Raja-Raja Melayu semasa meminda Perlembagaan Negara dahulu di mana kuasa Raja-Raja ditarik balik.


Semasa itu rapat-rapat umum diadakan secara besar-besaran di seluruh negara. Kakitangan kerajaan diarah turut serta manakala akhbar, khususnya Utusan dan Berita Harian termasuk stesen tv kerajaan dan swasta (TV3) diarah mengorek dan mendedahkan cara hidup mewah dan kelemahan Raja-Raja Melayu sehinggakan kos membiayai berpuluh ekor kuda Sultan Pahang pun disiarkan berulang kali.


Dengan ingatan mereka itu, saya teringat bagaimana saya sendiri telah diminta oleh UMNO mengepalai Pergerakan Pemuda UMNO ketika itu untuk menyerang Sultan Selangor Almarhum Sultan Sallahuddin Abdul Aziz atas campurtangan Baginda dalam urusan pentadbiran Negeri Selangor serta Sultan Perak berhubung kos pertabalan Baginda ketika itu. Saya dipilih di kalangan Exco Pemuda UMNO ketika itu kerana saya berasal dari Melaka, negeri yang tidak mempunyai Raja, justeru saya bebas untuk bercakap.


Menurut mereka lagi, kini UMNO dan BN melalui akhbar dan tv cuba menutup pekung lama mereka dengan mencipta isu dan membesar-besarkannya dengan niat dan harapan agar rakyat khususnya pengundi Melayu benci kepada parti pembangkang dalam pilihanraya ini.


Mereka meminta saya menyampaikan kepada YAB Dato’ Sri agar memulangkan semula kuasa Raja-Raja yang dirampas dahulu sebagai bukti UMNO dan BN hari ini benar-benar mencintai dan menghormati Raja-Raja Melayu. Mereka amat kecewa dan jijik dengan permainan pemimpin-pemimpin UMNO yang selalu berpura-pura dan menganggap rakyat khususnya orang Melayu mudah lupa serta boleh diperbodoh-bodohkan.


Kepada mereka, tindakan UMNO ini tidak ubah seperti orang sedang dalam kelemasan yang akan melakukan apa saja cara untuk menyelamatkan diri. Terserahlah kepada YAB Dato’ Sri untuk memikirkan pandangan ini sama ada mahu menerima atau menolaknya.


Dalam isu ini, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein mengatakan Suruhanjaya Siasatan Diraja patut diadakan segera untuk menyiasat mereka yang memomok dan menghina Yang Dipertuan Agong. Kiranya suruhanjaya itu ditubuhkan, ia sepatutnya juga menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin-pemimpin UMNO, termasuk akhbar dan tv yang lebih dulu menghina dan memaki hamun Raja-Raja Melayu.


12. KONSEP 1MALAYSIA


Sementara YAB Dato’ Sri melaungkan konsep 1Malaysia, terdapat cakap-cakap kedai kopi bahawa ia bertentangan sama sekali dengan amalan UMNO itu sendiri yang tidak pernah meletakkan calon bukan Melayu bertanding dalam pilihanraya berbanding DAP yang dituduh rasis, sebaliknya sudah sekian lama menerima calon Melayu bertanding atas tiketnya. Pas yang dituduh mengamalkan fahaman Islam sempit juga pernah meletakkan bukan Islam sebagai calonnya.


Selain UMNO yang tidak pernah memilih bukan Melayu sebagai calonnya, parti MCA dan MIC yang turut mendokong konsep 1Malaysia juga tidak pernah meletakkan orang Melayu sebagai calon mereka. Kata mereka lagi, sepatutnya UMNO, MCA dan MIC mencontohi PAS dan DAP.


Dalam hal ini, siapakah yang rasis sebenarnya? Malahan pemimpin DAP, Lim Guan Eng yang dituduh rasis itu juga pernah merengkok sekian lama dalam penjara kerana membela nasib seorang gadis Melayu bawah umur yang diperkosa sehingga melahirkan anak di sebuah pusat tahanan wanita di suatu ketika dahulu.


Dalam debat terbuka antara Lim Guan Eng dengan Chua Soi Lek baru-baru ini, jelas terbukti kepada kita bahawa DAP lebih menghormati agama Islam berbanding MCA yang tidak mahu bertolak ansur dalam perkara-perkara tertentu yang melibatkan Islam. Seperti hujah Chua Soi Lek, Presiden MCA itu, “Kita, MCA berani memberi kata dua kepada pemimpin UMNO” (We, MCA dare to tell off UMNO leaders) dalam perkara hudud (Islam) tetapi Lim Guan Eng dengan tegas memaklumkan bahawa DAP menghormati Islam dan Pas pun tidak mempersendakan agama dan kefahaman bukan Islam.


Saya sendiri hairan dan amat sedih dengan sikap berdiam diri YAB Dato’ Sri yang sanggup membiarkan pemimpin-pemimpin MCA menghina agama suci kita semata-mata hendak meraih undi masyarakat bukan Islam.


Tanya seorang ustaz, tidakkah PM Najib takut akan hukum Allah? Sila lihat Surah Al-Mae’idah ayat 44 yang bermaksud, “Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu, dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia semata-mata) dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.”


Untuk memenangi pilihanraya dan menunjukkan YAB Dato’ Sri benar-benar “cakap serupa bikin” dalam perlaksanaan konsep 1Malaysia ini, sudah sewajarnya ia benar-benar diterjemahkan kepada rakyat agar masing-masing dapat menilai kejujuran serta keikhlasan YAB Dato’ Sri dalam hal ini.


13. BANTUAN RAKYAT


Selepas YAB Dato’ Sri memberi bantuan RM500 kepada rakyat berpendapatan dibawah RM3000 sebulan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), (di kalangan muda-mudi ada yang mentafsirkan pula BR1M itu ialah Beli Rakyat 1 Malaysia), RM200 dalam bentuk baucer buku kepada pelajar universiti dan RM100 untuk pelajar sekolah, ada yang menyarankan agar program ini diteruskan lagi setiap bulan dan bukannya dibuat menjelang pilihanraya saja. Kerajaan juga disaran memberi wang tunai RM3,000 pula kepada setiap rakyat Islam menjelang sambutan bulan puasa dan Hari Raya pada tahun ini.


Kepada para imam serta jawatankuasa masjid dan surau pula, imbuhan khas sebanyak RM3,000 juga wajar diberikan kepada mereka atas peranan mengimarah serta meninggikan syiar Islam sepanjang bulan Ramadan dan menyambut ketibaan Syawal.


Jika program bantuan rakyat yang dicadangkan ini dapat dilaksanakan dengan menangguhkan pilihanraya umum sehingga selepas Hari Raya, saya percaya kemenangan akan lebih mudah untuk diperolehi.

BERSAMBUNG KE PART 4......

No comments: