Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) kerana pertubuhan itu sering menuduh segala pembaharuan pendidikan oleh kerajaan seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bertujuan untuk merosakkan bahasa Cina dan masa depan sekolah Cina.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sejak negara merdeka 55 tahun yang lalu, kerajaan tidak pernah meminggirkan pendidikan sekolah Cina apatah lagi mahu merosakkan bahasa Cina sebaliknya segala kekurangan yang ada segera ditampung bagi memastikan pendidikan tersebut tidak terjejas.
Sehubungan itu beliau berkata, Dong Zong dalam isu tersebut lebih bersifat politik dan bukannya menjadi pejuang pendidikan seperti mana yang dilaung-laungkan oleh mereka.
”Begitu juga dengan pendidikan Tamil. Saya telah jelaskan sebelum ini bahawa pelan pendidikan yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak langsung menyebut untuk meminggirkan sekolah yang menggunakan bahasa Cina atau Tamil, malah kedua-dua aliran ini akan terus kekal seperti mana dalam laporan itu.
”Jadi apa maknanya. Ini bermakna aliran sekolah Cina dan Tamil di peringkat sekolah rendah akan terus kekal diajar, kekal sampai bila-bila. Mungkin selagi ada bulan, bintang dan matahari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) 2012 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Untuk rekod, Dong Zong sebelum ini telah mengadakan perhimpunan bagi membantah perlaksanaan PPPM yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini dengan kebimbangan sekolah vernakular akan diketepikan.
Berita lanjut... ob21.net.
No comments:
Post a Comment