Thursday, 18 October 2012

SEPAGI BERSAMA PM DI TELUK INTAN

Najib Tun Razak

TELUK INTAN – Agenda pembangunan negara untuk memberi manfaat lebih besar kepada rakyat oleh Barisan Nasional (BN) adalah lebih baik dan unggul daripada apa yang dikemukakan pembangkang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak .

Perdana Menteri berkata pembangkang yang tidak mempunyai pengalaman dan trek rekod, turut gagal membuktikan pakatan mereka lebih utuh dan kukuh daripada BN yang telah diuji sejak 50 tahun.
“BN sebagai kerajaan, memahami bahawa dalam menunaikan tanggungjawab ini, perlu ada rasa ‘kemanusiaan’ dan ‘tawadduk’ untuk memahami aspirasi rakyat, merasai denyut nadi rakyat,” katanya ketika berucap di hadapan hampir 10,000 masyarakat pelbagai lapisan pada program Sepagi Bersama Perdana Menteri di Arena Square di sini pada Khamis.
Beliau berkata walaupun zaman telah berubah, namun prinsip BN sebagai kerajaan tetap sama.
“Zaman berubah. Dulu ‘stail’ lain tetapi prinsip (BN) tetap sama, stail sahaja berubah. Kalau dulu bertongkat dan berpakaian ‘bush jacket’, sekarang berkemeja 1Malaysia, simple dan tidak mahal. Kerajaan perlu ada kesinambungan sebab kalau tidak ada, kerajaan tidak dapat membuat perancangan jangka masa panjang,” katanya.
Najib berkata bertukar kerajaan bukan seperti menukar menu makanan kerana ia tidak akan menguntungkan negara dan rakyat.
“Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, yang mempunyai masa depan, kita memerlukan kesinambungan, kita perlukannya bukan semata-mata mahukan kuasa tetapi rakyat akan mendapat manfaat lebih besar di bawah BN,” katanya.
Beliau berkata pembangkang menghasut supaya rakyat membenci kerajaan namun demokrasi bukan berkisar soal kebencian sebaliknya demokrasi adalah mengenai agenda siapa lebih baik dan ia memberi keyakinan kepada BN untuk meneruskan matlamat membangunkan negara serta rakyat.
Katanya seperti Belanjawan 2013 yang dibentang baru-baru ini, di mana ia berteraskan keadilan sosial dengan bersifat ‘inklusif’ dan lengkap yang mengambil kira semua keperluan lapisan masyarakat.
Beliau turut menolak dakwaan yang ia ‘belanjawan pilihan raya’ kerana jika benar sepatutnya kerajaan sedia memberi lebih daripada yang dibentang.
“Sebab itulah bajet kita adalah bajet yang bertanggungjawab. Tidak ada satu pun penganalisis antarabangsa dan dalam negara mengatakan bajet kita tidak ada kreadibiliti dan tidak bertanggungjawab.
“Namun banyak yang mempertikai bajet yang dibentangkan oleh pakatan pembangkang, sampai mereka (penganalisis) tidak menilainya sebab tidak ada asas kreadibiliti pada bajet mereka itu,” katanya.
Najib berkata kerajaan pimpinan BN turut mempunyai perancangan besar untuk pembangunan negeri Perak seperti lebuh raya pantai barat yang akan memberi kesan positif kepada kemajuan rakyat dan kawasan seperti di Bagan Datoh dan Teluk Intan.
“Projek lebuh raya itu akan menjadi kenyataan dalam beberapa tahun akan datang sebab kawasan pantai dari Selangor ke Perak tidak begitu membangun berbanding tempat yang dilalui Lebuh Raya Utara-Selatan. Saya percaya kawasan seperti Teluk Intan akan menjadi lebih hebat pembangunannya,” katanya.
Program Sepagi Bersama Perdana Menteri itu turut dihadiri beberapa pemimpin antaranya Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G.Palanivel yang bersama-sama hampir 10,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat sekitar Teluk Intan, Pasir Salak dan Bagan Datoh. – BERNAMA

No comments: