Monday 1 October 2012

PEMBACA BULETIN AWANI DIRAGUT DI HADAPAN RUMAH


KUALA LUMPUR  - Pembaca berita Buletin Awani, Aida Mohamad berdepan detik mencemaskan apabila diragut sekumpulan lelaki bermotosikal di hadapan rumahnya di Jalan Perkasa 5, Taman Maluri, Cheras di sini awal pagi ini.
Difahamkan, Aida, 31, dan suaminya semasa kejadian baru sahaja sampai di rumah selepas menghadiri satu majlis kenduri kira-kira pukul 2.40 pagi.

Ketika turun dari kereta, tiga lelaki menaiki dua buah motosikal jenis Yahama 125 serta bersenjatakan sebilah gunting pemotong pokok tiba-tiba muncul dan cuba merampas beg tangan mangsa.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner, Mohan Singh berkata, suami mangsa mengejar kesemua suspek dengan kereta bersama dua anggota unit peronda polis menaiki motosikal yang kebetulan berada di kawasan kejadian selepas terdengar jeritan mangsa," katanya.

Beliau berkata, suami mangsa tekad melanggar suspek-suspek itu selepas mengejar mereka sejauh dua kilometer hingga ke kawasan berhampiran Kompleks Maluri.

"Dua suspek berusia 18 dan 21 tahun berjaya diberkas manakala seorang lagi melarikan diri. Kedua-dua mereka yang cedera akibat terjatuh daripada motosikal menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia," katanya, sambil menambah, polis menemui beg tangan mangsa dan senjata yang digunakan suspek.

Siasatan mendapati kesemua suspek terlibat dalam beberapa kes samun di Cheras dan beberapa daerah lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan melakukan samun berkumpulan. 

BERNAMA dan Utusan 1/10/12

No comments: