Monday, 15 October 2012

ARTIKEL PEDAS, PANAS, BERAPI... RENTUNG..!!!

Gambar hiasan


Menilai Adab dan Akhlak Popularis Agama

Adab dan akhlak adalah penarik kepada dakwah Islamiyyah. Sejarah membuktikan, selain dari kebenaran Islam, akhlak terpuji yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW merupakan pemangkin kepada penyebaran ugama Islam. Akhlak yang mulia inilah juga menyebabkan bangsa-bangsa lain selain dari bangsa Arab memeluk ugama Islam. Ini terbukti dengan Islamnya umat Melayu di rantau sebelah sini di tangan ulama'-ulama' dan juga pedagang-pedagang dari Tanah Yaman dan juga benua kecil India.


Adab dan akhlak yang keji menjauhkan manusia dari dinul Islam. Bukan setakat menjauhkan, tetapi membawa fitnah pula kepada agama itu sendiri. Guru-guru agung Islam menggagaskan ilmu yang tinggi membentuk akhlak yang mulia. Umpama resam padi, makin berisi sepatutnya semakin tunduk jadinya, bukan seperti resam anjing, makin kecil kerdil saiz tubuhnya tetapi makin garang dan makin kuatlah salakannya. Bagi popularis agama, contoh dan teladan guru-guru agung samada warisan Islam mahupun Barat tidak dijadikan amalan. 

Adab dengan Dalil Al Quran dan Sunnah 


Dalam ilmu Islam, Al Quran dan Sunnah merupakan asas kepada semua hukum agama. Tidak ada alasan ataupun pegangan yang boleh menafikan dua sumber ini. Perkara ini amatlah dipegang oleh ulama'-ulama' Ahli Sunnah Wal Jamaah rujukan kita zaman-berzaman. Tradisi Barat menganugerahkan ijazah kedoktoran sebagai satu pengiktirafan kepada pemegangnya untuk menyelidik dan membahas ilmu secara rasional mengikut struktur dan kaedah ilmu dalam bidang masing-masing. Namun, ia bukanlah satu lesen untuk membolehkan seseorang itu menganggap dirinya sahih malah lebih sahih dari Al-Quran dan Sunnah.

Adab ini sengaja tidak difahami oleh golongan popularis agama. Jikalau ada perbahasan berkaitan ilmu Islam terutamanya dalam bab muamalat sesama manusia yang mereka berkepentingan, maka ditolaklah Al-Quran dan Hadith serta dinaikkan garapan idea mereka, dan falsafah-falsafah reformis kristian melawan garis panduan ilmu agama Islam. Dengan itu, pengikut-pengikut mereka terkeliru dengan gagasan awal mereka yang pada mulanya kononnya berdasarkan jejak salafussoleh. Ini kerana apa yang didengar oleh pengikut mereka sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh nafsu mereka dan bukannya berdasarkan nas yang sahih.Popularis agama malah melabel mereka-mereka yang tetap istiqomah berpegang kepada Quran dan Sunnah dengan pelbagai label pula seperti literalis dan jumud malah sentiasa berusaha mengadu dombakan golongan ini dengan para ilmuwan agama yang berlainan aliran agar si popularis dapat menangguk populariti di air yang keruh. 

Ciri ini bersesuaian dengan sifat mana-mana ajaran salah dan sesat. Isu dan polemik ditimbulkan awalnya oleh pemuka ajaran sesat adalah berdasarkan kepada satu fakta kebenaran untuk menarik perhatian bakal-bakal pengikut dan peminat. Namun, selepas mencapai matlamat mereka, pemukanya mulalah menyimpang dari Al-Quran dan Sunnah serta jejak salafussoleh kepada mendewakan diri mereka tanpa diri mereka boleh dikritik dari sudut keilmuan yang sahih.

Adab dengan Ulama 

Popularis agama mempunyai sifat yang aneh. Di dalam Al-Quran, telah disebutkan bahawa orang mukmin itu sewajarnya bersifat lemah-lembut sesama mukmin. Popularis agama walaupun mengaku mengikut seruan salafussoleh, tetapi mereka tidak segan-silu mengkritik ulama-ulama gerakan ini tanpa menyelidiki hujah dan nas yang menjadi asas kepada terbitnya suatu hukum sesuai dengan keadaan sosio-budaya negara ulama terbabit. Contohnya, popularis agama mengeji pendapat ulama Saudi yang mengharamkan wanita memandu. Ya, tidak salah untuk mengkritik tetapi sebagai seorang yang memakai baju akademik, pendapat tersebut sepatutnya difahami asbabnya dan kemudiannya dicabar dengan nas dan hujah bukannya dikeji dan dijadikan bahan ketawa. 

Popularis agama kononnya tidak bersetuju pendapat ulama Saudi atas hak asasi dan juga mahu keluar dari kejumudan. Tetapi, popularis agama tidak pula mengkritik tindakan mundur United Kingdom sebuah negara bukan Islam, yang masih mengenakan lesen terhadap pemilikan televisyen dengan harga yang mahal dan mengenakan denda berat terhadap mereka yang melanggar peraturan yang tidak munasabah di era keterbukaan dan teknologi maklumat ini. Ketakutan bagi mereka yang menyimpan TV secara haram di UK lebih kurang sama sahaja dengan ketakutan bagi orang yang menyimpan radio di zaman penjajahan Jepun. Tidak pula mereka mengkritik tindakan kuno kerajaan Britain apabila mereka berada di bumi UK tersebut,jauh sekali memuji keterbukaan penguasa negara kita dan negara Islam yang lain dalam hal penyebaran maklumat. Sifat mengampu mereka juga amat jelek sekali. Mereka tergamak mengampu kerabat diraja Bristish tetapi mencemuh dan mencerca sultan sendiri tanpa malu, bagi memenuhi selera pengikut-pengikut popularis yang gemar mahu pandangan yang mengikut hawa nafsu politik mereka. Juteru, sebenarnya, kritikan mereka bukanlah berpunca daripada keikhlasan popularis agama dalam memperjuangkan hak bersuara tetapi hanya sekadar memperlekehkan segolongan ulama tertentu untuk membolehkan mereka menyuntik agenda popularis mereka untuk menyimpangkan pengikut mereka daripada jalan Al-Quran dan Sunnah.

Begitu juga adab dan akhlak mereka dengan ulama yang tidak sealiran. Kadangkala kebiadapan mereka berhujah dengan ulama terutamanya bertaraf senior menyebabkan ulama berkenaan jauh hati dan mencari punca asbab kebiadapan popularis agama. Lalu, ideologi dan guru-guru agung gerakan salafussoleh seperti Ibn Taymiyyah, Ibnul Qayyim dan Muhammad ibn AbdulWahhab yang terkena getahnya kerana disangka aliran inilah yang menerbitkan akhlak yang rendah. Maka, terselamatlah popularis agama dan malanglah bagi gerakan salafussoleh gerangan bantahan dari ulama-ulama yang tidak sealiran. Benar, barangkali popularis agama mempunyai hujah yang lebih dekat dengan kebenaran dalam isu tertentu, tetapi bukankah dengan akhlak yang mulia, suasana harmonis boleh tercipta. Sedangkan Nabi Musa pun berdakwah kepada Firaun dengan lemah-lembut dan akhlak yang mulia, inikan pula dengan ulama-ulama tidak sealiran yang lebih senior dan berusia?

Akhlak di Media Sosial 


Kebebasan bersuara dan mengkritik selalu dilaungkan. Namun, hakikatnya, ini hanyalah bersifat propaganda sahaja. Popularis agama tidak berani berforum dan berdebat di hadapan khalayak yang bukan penyokongnya. Tetapi, kononnya mencabar mereka yang tidak sealiran dengan mereka untuk berforum atau berdebat di hadapan audiens, moderator dan tajuk yang ditentukan oleh mereka sendiri. Tindakan ini tentulah tidak wajar. Kebenaran tidak akan tumpas walaupun di hadapan majoriti yang menentang sebesar mana sekalipun. Mereka hanya mahu popular tanpa mempedulikan kebenaran. Jika tersebar pendapat yang tidak bersetuju dengan pandangan mereka, ini akan menjatuhkan persepsi penyokong mereka bahawa pendapat popularis agama adalah pendapat yang tidak boleh dicabar kesahihannya. Justeru mereka memilih untuk mencabar orang lain berdebat hanya di medan yang mereka yakini boleh memenangi sorakan dan bukan menegakkan kebenaran.

Popularis agama hanya mampu berkomunikasi satu hala. Jika pandangan berbeza disuarakan di dinding media sosial mereka, popularis agama tidak segan untuk menyekat suara tersebut atas dasar tuan rumah sepatutnya dihormati dan menghalau unsur tidak baik kononnya. Tetapi, apabila berhadapan dengan pemerintah, mereka menyokong pula demonstrasi yang tentu menyusahkan rakyat untuk bergerak, membeli-belah dan mengunjungi majlis-majlis kenduri-kendara. Ini semata-mata untuk membolehkan mereka kekal untuk popular di kalangan golongan tertentu agar terus diangkat sebagai ulama berjiwa rakyat. Tetapi, cubalah rakyat yang sama mendemonstrasikan rasa tidak setuju dengan pendapat mereka, tentu sekali akan disekat-sekat dan dibentak-bentak oleh golongan popularis agama ini.

Kesimpulan

Popularis agama bukanlah mereka yang berani berhujah dalam suasana yang adil dan saksama. Sifat ini walaupun sering mereka laungkan untuk orang lain terutamanya kaum pemerintah, tetapi gagal dipraktikkan oleh mereka di alam realiti. Mereka boleh mencandui pengikut dan penyokong mereka, tetapi bagi yang lain, mereka ini tidaklah lebih dari hanya sang badut agama.

Akhlak mereka menyebabkan mereka yang berpegang teguh pada Al-Quran dan Sunnah dicemuh dan dicaci serta nama-nama ulama terdahulu terkesan dari perbuatan mereka. Pembersihan jiwa dan metod mengikut jalan para sahabat, dan ulama terkemudiannya adalah ubat kepada masalah moral popularis agama yang semakin kronik dan parah.

DR ABU UZMA ABDUL RAHMAN

No comments: