Monday 7 May 2012

JIKA ARAB SAUDI LARANG RAKYAT MALAYSIA TUNAI HAJI..... SALAH UMNO..???



KUALA LUMPUR 6 Mei - Rakyat negara ini berhadapan kemungkinan dilarang daripada mengerjakan haji atau umrah untuk tempoh tertentu selepas sekumpulan rakyat negara ini dikesan menganjurkan perhimpunan haram Bersih 3.0 di Mekah dan Madinah, baru-baru ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum ini, Arab Saudi pernah melarang rakyat dari sebuah negara Islam daripada mengerjakan haji dan umrah selama tiga tahun kerana terdapat rakyatnya yang berdemonstrasi di tanah suci itu.

''Ini kerana pihak berkuasa Arab Saudi cukup tegas dengan sebarang
demonstrasi haram dan dikhuatiri tindakan sama turut dikenakan ke atas Malaysia.

''Penganjur perhimpunan itu perlu bertanggungjawab dan berisiko membayar harga yang 'mahal' sekiranya jemaah dari negara ini dilarang mengerjakan ibadat haji dan umrah untuk tempoh tertentu," katanya pada sidang akhbar sebelum mengetuai Konvoi Bermotosikal Sempena Sambutan Hari UMNO ke-66 di sini hari ini.


Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pihak berkuasa Arab Saudi melancarkan gerakan mengesan sekumpulan rakyat negara ini yang menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0 di Mekah dan Madinah pada 28 April lalu.

Ahmad Zahid berkata, apa yang dibimbangkan ialah peserta perhimpunan itu tidak mengetahui bahawa kerajaan Arab Saudi amat sensitif dengan demonstrasi seperti itu.

''Pihak risikan tentera negara itu begitu cekap kerana sudah banyak kali mereka berhadapan dengan situasi seperti itu.

''Justeru, jika ada peserta perhimpunan itu ditahan, jangan pula menyalahkan kerajaan Malaysia kerana mereka perlu patuh dengan undang-undang Arab Saudi," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan rakyat bahawa demonstrasi jalanan bukan acuan politik di negara ini.

''Semua pihak harus menghormati sistem perundangan yang telah pun diubah bagi membolehkan perhimpunan aman dilakukan di tempat-tempat sesuai.

''Gunakan kematangan fikiran untuk berpolitik, bukannya mencari pengaruh dengan menggunakan cara politik jalanan," tegasnya. - UM

No comments: