Monday 7 May 2012

ANWAR, HITLER, STALIN...........


SELEPAS menghadapi tekanan daripada rakyat dan pelbagai pihak ekoran keganasan perhimpunan haram Bersih 3.0, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menjadi tak keruan.


Kerana tiada lagi hujah dan alasan konkrit yang boleh beliau beri, Anwar pada satu sidang akhbar mendakwa kerajaan telah bertindak seperti diktator Adolf Hitler dan Joseph Stalin dalam menangani Bersih 3.0.


Awang hanya senyum. Anwar seperti biasa cuba mengalihkan isu kemarahan rakyat terhadap beliau, dengan menyalahkan pula kerajaan dan polis.


Perhimpunan tersebut menyerlahkan lagi agenda jahat Anwar. Daripada keengganan beliau untuk berhimpun di kawasan lebih sesuai seperti di stadium hinggalah kepada menghasut, boleh dinilai oleh rakyat.


Paparan video bagaimana beliau memberikan isyarat agar peserta Bersih merempuh Dataran Merdeka, membuktikan lagi hakikat itu.


Anwar boleh asyik berbohong tetapi bukan semua pembohongan beliau akan bertahan lama. Kebenaran akan tetap muncul akhirnya.


Apabila beliau menyebut soal Hitler dan Stalin, ia hanya membuka pekung diri sendiri. Pada Awang, sebenarnya Anwar mempunyai sebahagian ciri-ciri pada kedua-dua tokoh tersebut. Beliau diketahui suka mendesak dan memanipulasi pihak lain untuk kepentingan sendiri. Nafsu untuk berkuasa begitu luar biasa, sama sifatnya dengan Hitler dan Stalin.


Anwar tidak boleh ditegur dan dikritik dan sebab itu sudah puluhan pemimpin PKR meninggalkan beliau. Wajah Anwar yang makin keruh sekarang, pernah hampir sama keruhnya dengan wajah Hitler ketika detik-detik kejatuhan diktator itu.


Tetapi ada sifat Anwar yang tiada pada Hitler dan Stalin. Kedua-dua pemimpin silam itu tidak pernah terpalit dengan isu gay atau biseksual.


Jika dibuat perbandingan, Anwar walaupun lahir di negara sebelah Timur dikatakan lebih ‘hebat’ kehidupan seksnya daripada Hitler dan Stalin.


Ketika Anwar ghairah menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi sehinggakan dilihat sanggup mengorbankan agama dan kedaulatan negara, Hitler dan Stalin adalah nasionalis tulen.


Sebab itu, kedua-duanya tidak tunduk kepada pihak lain apatah lagi anasir luar berbanding Anwar yang menggunakan pengaruh luar untuk berada di tampuk kuasa. Dalam politik tanah air pula, Anwar mengaku beliau rela menjadi kuda tunggangan DAP.


Hitler dan Stalin juga tidak mengheret rakyat dengan isu moral dan peribadi sedangkan Anwar tanpa malu mempergunakan rakyat untuk menyelamatkan diri.


Dari segi integriti, Hitler dan Stalin sedikit sebanyak boleh dipuji. Hitler misalnya walaupun dianggap diktator hanya memiliki wang 180,000 reichsmark sahaja di dalam tabungnya. Itu semua diperolehi daripada penjualan buku dan gajinya selama 12 tahun. Dia tidak pernah mengambil wang negara dan mengagihkannya kepada kroni-kroni.


Di Malaysia, Anwar dianggap pemimpin nombor satu dalam membina empayar kroni ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.


Banyak lagi perkara yang tidak terdedah atau mungkin orang ramai sudah lupa tentang beliau. Salah satunya pendedahan yang pernah dibuat oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara (BNM), Abdul Murad Khalid pada 1999.


Menurut Murad, Anwar mengawal sebanyak 20 akaun induk (master accounts) yang diuruskan oleh kroni-kroninya membabitkan aset, saham dan wang bernilai RM3 billion (ketika itu).


Anwar juga pernah mendesak BNM supaya menyerahkan pengurusan rizab BNM sebanyak RM50 bilion kepada sebuah kumpulan pemikir Barat yang berpusat di Washington.


‘‘Saya hanya patuh kepada Anwar kerana pada ketika itu dia berkuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,’’ demikian petikan sidang akhbar Murad yang pernah disiarkan oleh media. Ditanya apa akan terjadi jika arahan Anwar tidak dituruti, beliau menjawab ‘‘saya akan dicincang.’’ Awang geleng kepala.


Dari semasa ke semasa, banyak laman blog menyiarkan kekayaan Anwar dan para kroninya yang melimpah sehingga ke hari ini.


Ada lagi tentang sejarah Hitler dan Stalin. Mereka berdua tidak pernah memburuk-burukkan negara sendiri tetapi ia merupakan perkara biasa bagi Anwar.


Kedua-dua tokoh itu juga mendokong institusi keselamatan termasuk polis. Berbeza dengan Anwar, sentiasa cuba menghasut rakyat mempersoalkan kewibawaan polis demi kepentingan politik dan peribadinya.


Hitler dan Stalin juga dikenali sebagai individu yang susah bercakap bohong tetapi reputasi Anwar dalam hal itu diketahui umum. Belum lagi berkuasa di Malaysia, Anwar Ibrahim sudah menjangkaui rekod Hitler dan Stalin.

No comments: