Wednesday, 14 March 2012

KAF DAN NED TAJA PKR

Agendadaily – Dakwaan mengenai dana asing dan PKR sudah sinonim dalam politik Malaysia.Ia bukan cerita baru, tapi sebelum ini cerita tersebut hanya tersebar dari blog ke blog atau mulut ke mulut.
Namum Selasa, Penyelaras BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mendedahkan buat kali pertama secara terbuka sesuatu yang agak mengemparkan berdasarkan sumber dalaman PKR sendiri.
Katanya pendedahan ini ‘sukar dinafikan’ PKR.
Pendedahan yang disokong berbagai dokumen itu antara lain mendakwa Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan khidmat agensi Yahudi menggerakkan PKR merancang kempen dan jentera Pilihan Raya Umum lalu (PRU12).
 
Menurut Mohd Zin, agensi yang dimaksudkan adalah Yayasan Konrad Adeneur (KAF) yang berperanan membantu Anwar dari segi dana dan latihan modal insan, selain menyerap masuk badan pemikir (think tank) melalui Institut Kajian Dasar (IKD).
KAF pada tahun 1950-an pernah membantu golongan neo konservatif Yahudi melalui American Jewish Committe (AJC) apabila Canselor Jerman Konrad Adenauer, Perdana Menteri Israel David Ben Gurion dan Pengerusi Jewish Claims Conference berpakat menghasilkan ‘Perjanjian Luxemborg’.
Mohd Zain dalam pendedahannya mendakwa berdasarkan sumber dalaman maklumat PKR sendiri, KAF turut memainkan peranan penting dalam memberikan dana pembangunan teknologi dan latihan kepada parti itu.
 
Ini termasuklah pembabitan beberapa individu asing dalam sekretariat PKR yang memberi nasihat dan tunjuk ajar mengenai beberapa perkara seperti penyusunan propaganda, gerakerja Unit Khas DUN dan Pasukan Khas, Perisian SisMap (Sistem pangkalan data PKR) serta menggodam emel (terutamanya agensi kerajaan).
“KAF secara terbuka menaja PKR menghantar ahli-ahlinya menjalani latihan kepimpinan di Jerman yang ditanggung sepenuhnya oleh KAF.
“Individu ini secara halus dilatih untuk menjadi kader asing yang berkhidmat dibawah PKR tanpa disedari mereka sendiri,” katanya dalam sidang media di Bangunan UMNO Selangor di Shah Alam.
“KAF merupakan think tank terbesar kepada parti pemerintah di Jerman… KAF juga membantu golongan neo konservatif Yahudi melalui American Jewish Committee (AJC).
“Ini ialah pendekatan yang diambil oleh Anwar dengan guna bantuan saluran asing yang tidak demokratik untuk bersaing dengan kita. Mereka menggunakan kaedah dengan cara menimbulkan kebencian rakyat terhadap pemimpin negara.
“Usaha ini sebenarnya bermula selepas PRU pada tahun 2004 bagi menghadapi PRU tahun 2008,”ujarnya.
Selain KAF, Mohd Zin mendakwa Anwar turut mendapat bantuan Institut Demokratik Kebangsaan untuk Hal Ehwal Antarabangsa (NDI) menyediakan buku manual bagi menghadapi pilihan raya kepada petugas PKR.
Menurut beliau, manual yang dinamakan buku perancangan kempen politik hasil tulisan Stephanie Lynn diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan dibuat khusus untuk menyebarkan dakyah kononnya Malaysia tidak mempunyai kebebasan media dan beragama.
“PKR menganggap buku dari NDI ini sebagai kitab mereka untuk menghadapi pilihan raya nanti,” katanya.
NDI, salah satu daripada empat cabang NED diketuai oleh bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat yang pernah menyokong Anwar semasa beliau dipecat, Madeline Albright.
 
Selain NDI, cabang lain ialah Institut Republikan Antarabangsa (IRI), the Pusat Solidariti Buruh Antarabangsa Amerika (ACILS), dan Pusat Perniagaan Swasta Antarabangsa Amerika (CIPE).
“IRI dipengerusikan Senator John McCain, yang juga sekutu Anwar. Agensi-agensi ini merupakan proksi kepada golongan Yahudi Zionis,” katanya.
Mohd Zin mempersoalkan tujuan NDI menghasilkan buku panduan tersebut dan apakah keperluannya.
“Antara kandungan buku panduan itu ialah menyebarkan dakyah bahawa Malaysia ini kononnya tiada kebebasan media, tiada kebebasan beragama. Pihak PKR anggap buku dari NDI ini sebagai kitab mereka untuk hadapi pilihan raya nanti.
“Perkara ini dikukuhkan lagi dengan temuramah akhbar The Sun bersama wakil KAF di Malaysia, Peter Schier beberapa tahun lepas yang mengakui bahawa organisasinya menaja kursus-kursus kepimpinan untuk PKR,” katanya lagi.
“Menggunakan sentimen agama dan wujudkan kebencian dalam kalangan rakyat bagi rampas kerajaan adalah kaedah paling primitif dan tidak bertamadun.
“UMNO dan seluruh rakyat Malaysia yang berfikiran matang pastinya tidak dapat menerima penjajahan kuasa asing melalui kaedah ini,” ujarnya

No comments: