Wednesday, 14 March 2012

BUKAN MUDAH MAHU MENTADBIR SEBUAH NEGARA....!!!

PADA 8 Mac 2012, genap ulang tahun keempat Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang disebut sebagai tsunami politik oleh kebanyakan media tempatan. Apa yang jelas sepanjang empat tahun pihak pembangkang memerintah negeri Selangor dan ahli Parlimen mereka 'mentadbir' kebanyakan kawasan di Kuala Lumpur, keadaannya masih sama seperti sebelum PRU-12.


Bukan dari segi prasarana tetapi siapa yang lebih banyak memajukannya. Hakikatnya Kuala Lumpur terus-terusan dimajukan oleh Kerajaan Pusat yang mana dalam masa yang sama Ahli Parlimen pembangkang cuba menangguk di 'air banjir' yang keruh.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan PKR Selangor ternyata sibuk berpolitik hingga mengabaikan kebajikan rakyat sebagaimana janji mereka dalam manifesto PRU-12.


Apakah prioriti kerajaan negeri sebenarnya di Selangor masih tidak diketahui sehingga kini. Sebagai contoh Kerajaan Negeri Selangor mempertingkatkan hasil negeri dengan menaikkan sewenang-wenangnya kos pendaftaran dokumen pindah milik 100 peratus (%) dan yuran urusan-urusan lain di pejabat tanah dan galian telah dinaikkan.


Sepatutnya urusan tersebut dipermudahkan bukannya menekan rakyat negeri ini secara kewangan. Semasa Kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah bayaran pendaftaran tanah di tahap kemampuan rakyat yang menjual tanah, tetapi hari ini transaksi pindah milik semakin tinggi dan banyak rungutan dalam kalangan rakyat apabila senario ini berlaku.
Isu keputusan kes sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) yang tidak akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) adalah satu lagi bukti kerajaan pakatan pembangkang hilang fokus untuk mewujudkan negeri ini sebagai sebuah negeri yang mempunyai organisasi yang berfungsi.


Setakat memanggil dan menggertak Yayasan Selangor namun tiada tindakan diambil ia bukan sekadar mahkamah kanggaru, malah boleh juga digelar mahkamah syok sendiri.


Itu baru dua isu di Selangor, di Kedah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak turut tergugat dengan percaturan politik dalaman yang bukan sahaja merunsingkan fikiran beliau, malahan Pas Pusat sendiri terpaksa menjadi pengadil. Rakyat Kedah sudah pasti boleh menilai apakah jenis kepimpinan yang mereka kehendaki, kepimpinan ulama atau pemimpin yang tamak.


Justeru rakyat Selangor dan Kedah perlu bijak menilai sama ada mahu terus mengekalkan kerajaan yang lebih mementingkan politik dalaman antara pemimpin atasan atau kerajaan BN yang tidak memilih bulu mengagihkan duit Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dan barang murah di Kedai Rakyat 1Malaysia serta jenama lain 1Malaysia yang tidak dimiliki oleh pembangkang walaupun satu.


Sesungguhnya menjadi pemerintah bukanlah suatu tugas yang mudah. Ia memerlukan kebijaksanaan, kesungguhan dan sanggup berkorban membantu rakyat seterusnya memajukan negeri atau negara.


Isu di Kedah semakin parah bahana Menteri Besar itu sakit di sana sini. Di Selangor, Penasihat Ekonominya diselubungi masalah dari kes mahkamah hingga pendapat populisnya yang sering mengundang kemarahan rakyat Islam di negara ini. Kepada rakyat nilailah sama ada kerajaan parti pembangkang berwibawa atau hanya terbawa-bawa dengan kuasa yang ada.

No comments: