Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menganggap tahun 2011 sebagai jalan untuk beliau meneroka penggunaan media sosial bagi merapatkan hubungannya dengan rakyat.
Penerokaan itu dimulakan pada awal tahun apabila buat pertama kalinya Najib menjemput orang ramai untuk bertanya soalan kepada beliau melalui laman sosial Twitter dan Facebook.
"Saya tidak menjangka akan menerima respon yang begitu hebat tetapi saya berjaya menjawab beberapa soalan yang diajukan, termasuklah yang pelik-pelik," katanya ketika menyoroti kembali peristiwa sepanjang 2011 pada entri terbaru bertajuk "Imbasan 2011" dalam blog 1Malaysia Rabu.
Melihat kepada kejayaan itu, Perdana Menteri berkata pada bulan berikutnya, beliau telah mempelawa 600 rakan dalam talian untuk minum bersama di Seri Perdana dalam program "Mari Berjumpa, Mari Berhubung".
Sikapnya yang berani meneroka cara baru itu menyebabkan beliau menerima banyak undangan secara dalam talian untuk berhubung dengan golongan belia.
"Tidak lama selepas itu, saya dijemput untuk melakukan "Gotcha" di radio oleh krew pagi Hitz.fm dan membuat penampilan pada rancangan pagi di Radio Era, Mix.fm dan Hot.fm," katanya.
Berdasarkan pengalaman siber yang dikutipnya, Najib berkata beliau memperkenalkan Meja Bulat 1Malaysia iaitu platform interaktif untuk Rakyat Malaysia memberikan komen, cadangan atau idea yang adil dan membina untuk memperbaiki kehidupan dan keadaan Rakyat Malaysia pada Jun.
Najib sendiri mengambil bahagian dalam satu daripada sesi bagi membincangkan topik yang berhubung kait dengan belanjawan untuk pertumbuhan yang mapan.
Satu lagi peristiwa penting dalam perjalanan media sosial beliau ialah apabila rakyat diperkenalkan dengan Aplikasi Bergerak pemimpin itu sendiri yang direka khusus untuk kegunaan telefon pintar yang boleh dimuat turun melalui laman Facebook dan laman web 1Malaysia.
Pada tahun ini juga, Najib turut memperkenalkan beberapa barangan rasmi 1Malaysia yang banyak diedarkan melalui kempen Barangan Rasmi 1Malaysia.
Kempen itu turut menjemput rakyat Malaysia untuk menghantar foto Jalur Gemilang yang kemudian dimuatkan ke dalam Album 1Malaysia Jalur Gemilang di laman Flickr milik Perdana Menteri sendiri.
"2011 merupakan tahun yang sungguh berwarna-warni bagi saya dan saya perlu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan anda," katanya.
Najib berkata kesemua cetusan idea, aduan dan komen rakyat Malaysia yang dihantar ke laman-laman media sosial beliau dibacanya dan Perdana Menteri mencuba sedaya upaya untuk memberikan responnya sendiri.
Beliau turut berharap agar semua rakyat akan terus bersama-sama dengannya untuk mencatat lebih banyak lagi kemajuan positif pada tahun depan dalam semangat dan amalan 1Malaysia.
"Apabila sampai ke penghujung setiap tahun, kita selalu merasakan seolah-olah masa berlalu dengan terlalu cepat," katanya.
Di antara peristiwa penting yang dicatatkan sepanjang tahun ini ialah usaha-usahanya untuk melancarkan pelbagai program untuk rakyat seperti Program Perumahan 1Malaysia atau PR1MA bagi membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah mereka sendiri.
Isu kenaikan kos juga ditangani dengan pelancaran Kedai Rakyat 1Malaysia atau KR1M yang bermula di Kelana Jaya, Selangor dan kemudian berkembang ke seluruh negara dan diikuti dengan Menu Rakyat 1Malaysia, di mana sarapan pagi dan makan tengah hari dijual oleh restoran yang mengambil bahagian pada harga tetap RM2 dan RM4.
Menyedari keperluan untuk menggalakkan pembangunan generasi muda Malaysia, Dana Belia 1Malaysia telah dilancarkan untuk membiayai idea-idea dan projek daripada golongan belia.
Banyak lagi program-program yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2012, yang tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah, kawasan luar bandar, belia dan perkhidmatan awam seperti program Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M yang menawarkan bantuan kewangan kepada rakyat yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.
Dalam laporan kemudahan menjalankan perniagaan 2011 oleh Bank Dunia, Malaysia telah tersenarai dalam kedudukan 20 teratas dan berkongsi kedudukan pertama di dunia dari segi kemudahan mendapatkan pinjaman perniagaan.
"Ini menunjukkan bahawa Program Transformasi Ekonomi atau ETP sudah pun mendatangkan hasil. Sewaktu pembentangan perkembangan ETP pada bulan September, sepanjang separuh pertama tahun ini, Malaysia sudahpun menerima pelaburan langsung asing (FDI) sehingga RM21.3 bilion," katanya.
Menjelang ulang tahun pertamanya pada Oktober, ETP telah membantu Malaysia mencapai pendapatan negara kasar (GNI) sebanyak RM228.55 bilion dan pelaburan komited bernilai RM171.21 bilion, dengan menyediakan kira-kira 372.361 peluang pekerjaan, kata Najib.
Tahun ini juga menyaksikan Perdana Menteri mengeratkan lagi hubungan di antara Malaysia dengan dunia antarabangsa bagi memangkinkan program-program transformasi negara.
"Tahun ini saya telah melakukan lawatan rasmi saya yang pertama ke United Kingdom atas jemputan Perdana Menteri Britain, David Cameron, di mana saya diberikan peluang untuk menjemput ketua-ketua industri negara tersebut untuk meneroka peluang pelaburan di Malaysia," katanya.
Beliau juga diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan mengenai "Gabungan Kesederhanaan dan Persefahaman Antara-Peradaban" di Teater Sheldonian di Oxford, England.
"Pada Mei, saya menghadiri Invest Malaysia New York 2011 di New York, Amerika Syarikat. Acara itu telah berjaya menjaminkan Malaysia antara RM5bilion dan RM6 bilion pelaburan baru bagi dua hingga tiga tahun akan datang," kata Najib.
Beliau juga bercakap mengenai Pelan Induk Digital Malaysia, yang sedang dalam pembangunan semasa menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di New York Academy of Sciences yang dipengerusikannya sendiri.
"Saya juga berada di Jepun untuk Persidangan Nikkei Antarabangsa ke-17 di Tokyo di mana saya menerima pengesahan bahawa kira-kira RM3.8 bilion dalam nilai pelaburan akan disumbangkan oleh firma-firma Jepun ke negara kita," katanya.
Tahun ini juga menyaksikan Perdana Menteri menghadiri beberapa persidangan antarabangsa seperti Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, Australia, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Honolulu, Hawaii dan Sidang Kemuncak Asean ke-19 di Bali, Indonesia.
Di Hawaii, beliau sekali lagi diberi penghormatan untuk memberikan pandangan Perdana Menteri mengenai Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) di East-West Center yang berprestij.
"Apabila sampai ke penghujung setiap tahun, kita selalu merasakan seolah-olah masa berlalu dengan terlalu cepat. Bagi saya, tahun ini terasa pendek kerana begitu banyak perkembangan dan pencapaian positif yang dicatat," katanya dalam blog itu - AD
1 comment:
Ada Ketua Bahagian kata tak penting
Post a Comment