Sunday, 16 September 2012

BENARKAH LELAKI INI DIRASUK..???


Lelaki ‘Dirasuk’ Di Pasaraya

Penulis percaya, sekarang ini satu video yang berjudul ‘Lelaki Dirasuk Di Pasaraya Lah!’ sudah tersebar meluas di laman-laman sosial yang ada.

Mengenai lokasi kejadian iaitu pasaraya, tidak pula penulis ketahui pasaraya di mana.
Cuma, kejadian itu telah direkod dengan CCTV pasaraya itu.

Video itu memaparkan seorang lelaki yang sedang mengambil minuman dari peti ais tiba-tiba berkelakuan aneh dan pelik.

Seorang pekerja pasaraya itu juga terkejut dan lari selepas melihat kelakukan lelaki itu.
Lelaki itu seperti dirasuk oleh sesuatu dan mengerang dengan kuat.

Misteri dan apa yang lebih misteri, pada masa yang ditunjukkan 1:29:22, satu bayangan telah keluar dari tubuh lelaki itu selepas dia rebah ke lantai.

Seterusnya, tisu yang berada di rak atas telah jatuh.

Siapa yang melakukannya?

Aneh bukan?

Namun, terdapat segelintir pihak yang telah menyaksikan video itu mengemukakan beberapa perkara yang boleh dipersoalkan tentang ketulenan video itu.

Ada yang mengatakan video itu hanyalah ‘troll’ sahaja dan sudah dirancang awal-awal sebelum dirakam.
Malah, seperti yang dikomen oleh @arifin jalin, dia dengan terang-terang mengatakan CCTV tidak merakam audio, yang dirakam hanyalah gambar.

Begitu juga dengan @riez609, mula mempersoalkan waktu rakaman pada 1:29:22 di mana waktu itu berhenti seketika yang menampakkan satu bayangan keluar dari cermin peti ais dan kotak-kotak tisu jatuh.

Dengan adanya kecanggihan pelbagai alat teknologi sekarang, tak mustahil apa yang tidak ada diadakan.

Macam-macam…



Oleh: SORAYA IMAN 

NICOL TEWAS DI NEGARA SENDIRI......


Selepas tujuh kali berturut-turut mengungguli kejuaraan CIMB Terbuka Malaysia, penguasaan Datuk Nicol David akhirnya tersekat selepas mengalami kekalahan mengejut kepada bintang muda Mesir, Raneem El Weleily di The Curve, Mutiara Damansara, semalam.

Nicol, 28, yang bergelut sejak hari pertama kejohanan akhirnya tidak mampu menyembunyikan kelemahannya apabila tunduk 10-12, 13-11, 9-11, 2-11 kepada Raneem, 23, yang semakin mempamerkan peningkatan sejak melonjak ke rankingNo. 2 dunia, awal bulan ini.

Biarpun menerima sokongan padu penonton dan mempunyai beberapa motivasi untuk memenangi perlawanan semalam, namun Raneem berjaya memerangkap Nicol menerusi drop dan voli drop yang cantik.

Selepas mengharungi tiga set yang sengit, Raneem menunjukkan kawalan rali yang baik di set keempat, malah mendahului 5-0, 10-2 sebelum menamatkan saingan dengan 11-2. Keseluruhannya, pertarungan hanya berlangsung selama 36 minit.

Kemenangan Raneem membolehkan dia melakar sejarah sebagai pemain wanita Mesir pertama menjuarai Terbuka Malaysia sejak kejohanan diperkenalkan pada 1975.

Malah, dia juga melengkapkan keunggulan pemain-pemain negaranya selepas terdahulu Tarek Momen melakar kejutan ke atas pilihan kedua juga dari Mesir, Mohamed El Sorbagy 12-10, 6-11, 12-10, 8-11, 14-12 untuk mengungguli saingan lelaki.

"Ini merupakan detik paling hebat dalam karier saya sebagai pemain skuasy. Bulan ini saya berjaya melonjakkan diri ke ranking kedua dunia buat kali pertama dan hari ini, saya berjaya menjadi pemain wanita Mesir pertama muncul juara Terbuka Malaysia.

"Tambah hebat lagi, saya mengalahkan Nicol David di depan penyokongnya sendiri. Ia adalah kemenangan pertama saya ke atas Nicol dan untuk mencapai kejayaan ini, saya perlu memberikan persembahan paling konsisten dan terbaik," ujar Raneem yang turut mengecewakan Low Wee Wern pada separuh akhir kelmarin.

Bagi Nicol, juara dunia enam kali ini bukan saja kekalahan pertamanya pada Terbuka Malaysia yang telah dijuarai sejak 2005, malah kalah buat kali pertama kepada Raneem daripada lapan pertemuan mereka.

Nicol juga kempunan melakar rekod baru 63 kejuaraan Jelajah Wispa (Pemain Profesional Wanita).

Nicol kini berkongsi rekod 62 gelaran bersama legenda New Zealand, Susan Devoy dan Sarah Fitz-Gerald dari Australia.

Kekalahan kepada Weleily turut meleburkan rekod tanpa kalah pemain No. 1 dunia itu dalam 39 perlawanan berturut-turut.

Kekalahan terakhir Nicol sebelum ini adalah kepada Kasey Brown dari Australia pada Oktober, 2011.

"Sudah tentu kekalahan sesuatu yang mengecewakan tetapi saya harus akur pemain lain sudah semakin meningkat dan Raneem menunjukkan peningkatan yang besar sejak akhir-akhir ini. Memang mustahil saya boleh menang semua perlawanan tetapi saya telah memberikan yang terbaik hari ini.

"Kekalahan saya pasti tidak menggembirakan penyokong tempatan, tetapi saya rasa dari sudut positif, persaingan kini sudah semakin kompetitif. Ia juga bagus untuk skuasy, malah amaran kepada saya bahawa saya perlu bekerja lebih kuat untuk mengekalkan kedudukan," ujar Nicol.

AMERIKA TAHAN LELAKI DISYAKI BIKIN FILEM HINA NABI

Nakoula Basseley Nakoula
Seorang lelaki disyaki menghasilkan filem Innocense of Muslims dibawa keluar dari rumahnya oleh pihak berkuasa AS, semalam.


Seorang lelaki yang disyaki menghasilkan filem yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW, sehingga mencetuskan kemarahan dan protes mengorbankan hampir 10 orang setakat ini, ditahan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), semalam.
Lelaki berkenaan, Nakoula Basseley Nakoula, pernah disabitkan kesalahan berhubung kes menipu bank pada 2010, dan diletakkan di bawah pemantauan selama lima tahun dan tidak boleh akses kepada Internet.
Nakoula, 55, dilaporkan telah menafikan terbabit dalam pembikinan filem tersebut, yang dinamakanInnocense of Muslims.

Protes ekoran tayangan filem itu merebak ke banyak negara Timur Tengah dan Mesir. Semalam, protes juga diadakan di Malaysia. Hari ini, protes merebak ke Australia.
Nakoula ditahan sejurus selepas tengah malam tadi.
Wakil media menunggu kemunculan lelaki itu selama 48 jam di hadapan rumahnya di selatan California.
Dia muncul dengan mengenakan skarf, kot dan cermin mata bagi mengelakkan wajahnya dirakam oleh media.
Berdasarkan rekod hartanah, rumah dia ditahan ada miliknya.
Jurucakap Jabatan Sherif Los Angeles, Steve Whitmore mengesahkan bahawa Nakoula dibawa ke stesen sherif Cerritos untuk disoal siasat oleh pegawai-pegawai pemantauan persekutuan bagi menentukan sama ada dia telah melanggar syarat hukuman dipantau selama lima tahun yang dikenakan.
Whitmore menambah, Nakoula telah bersetuju untuk ditemu siasat oleh pihak berkuasa sebelum tiba di rumahnya.
Oleh itu katanya, keputusan dibuat Nakoula adalah secara sukarela.
"Lelaki itu memberi kerjasama," katanya lagi.
Nakoula ada memberitahu Associated Press bahawa dia bukan pengarah filem itu tetapi hanya pengurus logistik.
Pengarah filem itu dikatakan menggunakan nama Sam Bassiel.
Laporan terdahulu menunjukkan Nakoula menggunakan sekurang-kurangnya lapan nama yang lain.  ~  SH

GOOGLE ENGGAN PADAM VIDEO HINA RASULULLAH SAW

Hamid Karzai


Google enggan padam video hina Rasulullah

Penunjuk perasaan bertindak membakar kenderaan yang berada di luar Kedutaan AS di Kaherah, semalam. (Gambar:AP)


SAN FRANCISCO - Syarikat enjin pencari gergasi, Google yang juga pemilik laman perkongsian video Youtube, kelmarin menegaskan pendirian mereka untuk tidak memadam video menghina Nabi Muhammad SAW walaupun ia telah mencetuskan protes di kebanyakan negara di rantau Arab.

Dalam satu kenyataan, Google juga menolak tuntutan banyak pihak yang menggesa syarikat Internet gergasi itu untuk mengeluarkan video menyinggung perasaan orang Islam tersebut.

Menurut jurucakap Google, treler filem berdurasi 14 minit berjudul Innocence of Muslims dihasilkan oleh pengarah anti-Islam, Sam Bacile itu kononnya tidak melanggar polisi dan garis panduan Youtube.

Bagaimanapun, susulan daripada protes ganas pada Selasa lalu Google memutuskan untuk menyekat akses filem anti-Islam tersebut di Mesir dan Libya bagi tempoh sementara.

Difahamkan, di bawah prosedur Google, pengguna Youtube boleh melaporkan kandungan tidak senonoh atau tidak sesuai kepada kumpulan pemerhati syarikat itu di seluruh dunia.

 Sehingga semalam, tiada sebarang tindakan diambil dan video tersebut telah ditonton lebih 122,000 pengguna.

Sementara itu, Ketua Pengarah di Kementerian Komunikasi di Afghanistan mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menyekat akses video yang mempersendakan sifat Rasulullah tersebut.

“Tindakan itu diambil selepas Presiden Hamid Karzai mengutuk filem tersebut yang dianggap biadab dan menghina Islam. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan tunjuk perasaan ganas merebak ke negara ini,” kata Aimal Marjan.

Afghanistan menjadi negara pertama menyekat akses video itu kerana khuatir insiden protes ganas awal tahun lalu akan berulang. Februari lalu, sekumpulan penunjuk perasaan mengadakan tunjuk perasaan yang akhirnya bertukar ganas sebagai membantah tindakan tentera Amerika Syarikat (AS) membakar al-Quran di penjara Bagram, utara Kabul. - Reuters 

IKLAN PALING MAHAL DI DUNIA



Sebuah filem dengan durasi empat minit hasil arahan Baz Lurhmann (Australia) untuk iklan Chanel No. 5 perfume merupakan iklan televisyen paling mahal di dunia yang menelan kos sebanyak £18 juta ($33 juta) bagi disiapkan sepenuhnya.

Iklan ini dibintangi oleh Nicole Kidman (Australia) yang memegang watak gaya Marilyn Monroe yang diburu oleh paparazzi. Julung kalinya iklan ini ditayangkan di seluruh pawagam Amerika Syarikat pada 1 November 2004 dan mula disiarkan oleh seluruh stesen televisyen Amerika Syarikat pada 11 November 2004.

Setelah membuat kemunculan sulung di layar besar Amerika Syarikat, iklan ini disusuli tayangan di pawagam serta siaran televisyen Australia, Britain, Perancis, dan Belanda bermula pada November 2004.

Bayaran yang diterima oleh Nicole Kidman bagi kemunculannya dalam iklan tersebut ialah £2 juta ($3.7 juta). Pakaian yang digunakan adalah hasil rekaan Karl Lagerfeld manakala selingan muzik adalah hasil karya komposer klasik terkenal iaitu Debussy.

Saturday, 15 September 2012

PERAK AKAN TERUS LAHIRKAN PELAJAR CEMERLANG





Bagi memastikan pendidikan anak-anak Perak sentiasa berada pada tahap yang cemerlang, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM10 juta setiap tahun bagi membantu mereka tanpa mengira latar belakang.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jumlah itu meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana dana untuk pendidikan yang disediakan hanya berjumlah RM2 juta.
“Ini membuktikan kerajaan negeri begitu bersungguh-sungguh membantu anak kelahiran Perak meneruskan pelajaran hingga tahap yang mereka mampu,” katanya.
Zambry berkata demikian semasa berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang 2011 Sekolah-sekolah Parlimen Lumut di Dewan Merdeka, Manjung, hari ini.
Dalam konteks kerajaan negeri, ibu bapa yang berpendapatan bawah RM3,000 ke bawah akan diberi bantuan jika anak mereka layak menyambung pelajaran di peringkat universiti mahupun kolej yang diiktiraf.
“Usaha ini bagi memastikan anak-anak dari pelbagai latar belakang tidak mempunyai masalah untuk mencapai kejayaan melalui peruntukan yang telah disediakan,” katanya.
Pada majlis itu, Menteri Besar menyampaikan sumbangan serta sijil penghargaan kepada 611 penerima dari sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Lumut yang terdiri daripada pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM 2011.
Daripada jumlah tersebut, seramai 316 pelajar cemerlang dalam UPSR, 228 pelajar cemerlang PMR, 59 pelajar daripadanya cemerlang SPM dan 8 pelajar lagi meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM.
Pelajar yang menerima anugerah tersebut adalah individu yang memperolehi semua  A di dalam peperiksaan yang mereka duduki. Majlis tersebut adalah anjuran bersama Biro Pelajaran UMNO Bahagian Lumut dan Pejabat Pelajaran Daerah Manjung, yang dipengerusikan oleh Encik Mudzaffar Shah bin Mohammed Rajamal.



Ketibaan Menteri Besar Perak di sambut Pegawai Pelajaran Daerah Manjung dan Pengerusi Biro Pelajaran UMNO Lumut.

Ibu bapa pelajar penerima anugerah turut dijemput hadir.

Lagi gambar....






bBacaan doa oleh Ustaz  Hairul Abd Karim (SK Seri Pangkor)

Pengacara Majlis, Encik Normazlan Md. Raja (SK Seri Bayu)







SAMBUTAN LUAR JANGKAAN SAMBUTAN AIDILFITRI UMNO LUMUT






Sambutan di luar jangkaan yang diterima pada sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Lumut tahun ini, membuktikan bahawa rakyat masih terus bersama dan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kehadiran tetamu pada tahun ini berlipat kali ganda berbanding tahun lalu.
“Ini menunjukkan indikasi  atau petunjuk yang baik mengenai tahap sokongan rakyat kepada BN,” katanya.
Zambry berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka, pagi tadi.
Hadir sama ke majlis itu ialah Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Lumut, Datuk Kong Cho Ha.
Sementara itu, pada awalnya, beliau katanya, hanya menjangka  15,000 tetamu yang  hadir pada majlis tersebut.
“Saya jangka kehadiran tetamu pada tahun ini tidak kurang daripada 20,000 orang,” kata beliau dengan nada yang gembira.
Tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat dilihat tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan pemimpin tertinggi negeri seawal jam 10 pagi lagi.
Disebabkan sambutan yang di luar jangkaan itu juga, sampul duit raya terpaksa ditambah bagi memastikan kesemua kanak-kanak yang hadir pulang gembira dengan duit raya yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar.