Saturday 15 September 2012

SAMBUTAN LUAR JANGKAAN SAMBUTAN AIDILFITRI UMNO LUMUT






Sambutan di luar jangkaan yang diterima pada sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Lumut tahun ini, membuktikan bahawa rakyat masih terus bersama dan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kehadiran tetamu pada tahun ini berlipat kali ganda berbanding tahun lalu.
“Ini menunjukkan indikasi  atau petunjuk yang baik mengenai tahap sokongan rakyat kepada BN,” katanya.
Zambry berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka, pagi tadi.
Hadir sama ke majlis itu ialah Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Lumut, Datuk Kong Cho Ha.
Sementara itu, pada awalnya, beliau katanya, hanya menjangka  15,000 tetamu yang  hadir pada majlis tersebut.
“Saya jangka kehadiran tetamu pada tahun ini tidak kurang daripada 20,000 orang,” kata beliau dengan nada yang gembira.
Tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat dilihat tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan pemimpin tertinggi negeri seawal jam 10 pagi lagi.
Disebabkan sambutan yang di luar jangkaan itu juga, sampul duit raya terpaksa ditambah bagi memastikan kesemua kanak-kanak yang hadir pulang gembira dengan duit raya yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar.

No comments: