Saturday, 3 January 2015

DAP KURANG AJAR TUDUH DS DR. ZAMBRY SOMBONG TOLAK SUMBANGAN RM100K UNTUK MANGSA BANJIR DARI KERAJAAN SELANGOR... !!!


LUMUT - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mendakwa, DAP cuba meraih politik murahan apabila menuduh beliau sombong dan tidak berhati perut berikutan dakwaan Perak menolak sumbangan RM100,000 untuk mangsa banjir daripada kerajaan Selangor. 
 
Menyifatkan tuduhan dibuat setiausaha politik kepada pengerusi DAP Perak, Chong Ze Min itu sebagai sangat biadab serta kurang ajar, Zambry  berkata parti itu cuba mengambil kesempatan ketika rakyat ditimpa kesulitan kerana musibah banjir.

"Ini jenis ahli politik yang bankrap, dalam kepala mereka terlalu banyak politik, apa sahaja hendak dipolitikkan. Rakyat sedang susah, menderita,  mereka tuduh saya sombong, tidak ada perasaan.   

"Sudah dua minggu kami berulang-alik dari Hulu Perak hingga ke Hilir Perak untuk meninjau keadaan banjir dan melihat masalah rakyat," katanya  kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Kayan, Manjung hari ini.  

Beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah menolak sumbangan daripada mana-mana pihak untuk membantu rakyat di Perak. 

Sehubungan itu, Zambry mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali kerana mengesahkan bahawa  sumbangan itu telah diterima oleh kerajaan negeri Perak.   

"Terima kasih kepada Azmin kerana membetulkan kenyataan yang tidak sewajarnya sebelum ini," katanya.   

Beliau berkata tumpuan sekarang sepatutnya kepada usaha membantu rakyat yang menjadi mangsa banjir, bukannya mencari kepentingan politik  murahan.   

Sementara itu, Penasihat Gerakan Perak Tan Sri Chang Ko Youn berkata beliau mendapati cara DAP mengeksploitasi isu banjir untuk kepentingan  politik sebagai amat dahsyat.  

"Sebenarnya kerajaan Selangor mahu menyerahkan cek itu kepada Menteri Besar Perak secara peribadi yang agak sukar untuk dilakukan pada ketika ini ekoran komitmen tinggi beliau untuk turun padang dan beliau (Zambry) telah bekerja tanpa mengenal penat lelah sejak beberapa minggu lepas untuk membantu mangsa banjir," katanya dalam kenyataan.

Malah, katanya Perak telah meminta kerajaan Selangor menyerahkan sumbangan itu kepada mana-mana NGO termasuk Yayasan Bina Upaya  tetapi Selangor enggan berbuat demikian.   

"Mereka (kerajaan Selangor) lebih berminat untuk mengadakan majlis," katanya.   
Ko Youn berkata amat mengecewakan dan meloyakan melihat DAP lebih berminat untuk mencari publisiti dan mengeksploitasi mangsa banjir demi  kepentingan politik.  

"Mereka tidak berhati perut, tiada perasaan dan tidak munasabah. Rakyat Malaysia mesti menolak ahli politik yang lebih mementingkan  keuntungan politik daripada kebajikan mangsa-mangsa banjir," katanya.   

Sehubungan itu, beliau menggesa DAP agar menghentikan kenyataan tidak bertanggungjawab seperti itu dan mengambil tindakan terhadap DAP  negeri atas perbuatan eksploitasi dan dahsyat itu. - Bernama  

Post a Comment