Thursday 18 December 2014

WANITA PEMINAT BOLASEPAK DIHARAMKAN JEJAK KAKI KE STADIUM SEUMUR HIDUP KERANA KOYAK AL-QURAN KETIKA PERLAWANAN BERLANGSUNG


Teeside (Middlesbrough) : Seorang peminat bola sepak yang mengoyak kitab suci al-Quran ketika satu perlawanan berlangsung diharamkan menjejakkan kaki di semua stadium sukan itu di England dan Wales selama tiga tahun, semalam.

Julie Phillips, 51, mengoyak kitab suci itu ketika perlawanan yang menyaksikan pasukan Middlesbrough seri 2-2 dengan Birmingham City pada Disember tahun lalu.

Polis berkata, Julie yang sudahpun diharamkan memasuki Stadium Riverside Middlesbrough seumur hidup, mencetus atau menyumbang kepada kekacauan lain.

Dia mendakwa tidak tahu buku yang dikoyakkannya itu al-Quran.

Dia wanita pertama dari wilayah timur laut Britain menerima hukuman seumpama itu yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret Teesside.

Perbicaraan di Mahkamah Majistret Birmingham Mei lalu mendapati dia dan seorang lagi peminat Middlesbrough bersalah mencetuskan kekacauan atau keresahan antara kaum.

Polis Cleveland merayu Mahkamah Teesside mengharamkan wanita itu dari semua stadium bola sepak dengan alasan insiden al-Quran itu bukan satu-satunya kesalahan yang membabitkan Julie.

Mereka berkata, dia pernah ditahan tahun lalu dalam satu lagi perlawanan Middlesbrough selepas mencerca seorang pegawai perlawanan.

Mahkamah juga diberitahu, dia pernah satu ketika, pulang dari menyaksikan satu perlawanan dalam keadaan mabuk dan memaki hamun anggota polis serta mengancam kumpulan penyokong lain dengan mencaci mereka. - Agensi

No comments: