Thursday, 11 December 2014

(FOTO) : KHEMAH 'OCCUPY UM' DIGEMPUR POLIS DAN DBKL


KUALA LUMPUR 11 Dis - Polis dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mula bertindak ke atas kumpulan pelajar "Occupy UM" yang berkhemah di pintu masuk utama Universiti Malaya (UM) bagi membantah keputusan pentadbiran menghukum pemimpin pelajar.



Malaysiakini melaporkan kira-kira 30 pegawai badan penguatkuasa terbabit mengarahkan pelajar merobohkan khemah. Menurut laporan itu, pegawai terlibat tiba pada pukul 3 petang dengan dua trak polis dan satu trak DBKL bagi membersihkan kawasan tempat pelajar mendirikan khemah sejak semalam.


Kumpulan "Occupy UM" dilancarkan mahasiswa universiti, sebagai tekanan kepada pihak pengurusan universiti yang menghukum tujuh pemimpin pelajar kerana menganjurkan forum melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Oktober lalu.


Lima daripada mereka dikenakan denda RM150 setiap seorang manakala dua orang – bekas pemimpin persatuan mahasiswa Fahmi Zainol dan Presiden Pro-Mahasiswa UM Safwan Shamsuddin menerima hukuman paling berat iaitu digantung dua semester dan denda RM600, serta satu semester penggantungan dan denda RM300.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dilaporkan mahu turut serta berkhemah dengan pelajar terbabit pada Ahad ini bermula 11 malam dan menyeru pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menyertainya sebagai tanda solidariti dengan pelajar mendesak UM sehingga hukuman itu digugurkan.

Post a Comment